KUCHING: Deputi Komisioner Polis Saifullizan Ishak dilantik memangku jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak berkuat kuasa hari ini, menggantikan Komisioner Polis Datuk Mohamad Zainal Abdullah yang dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak dan Pemangku Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak disempurnakan di Dewan Utama, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, di sini, pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid berkata, beliau menaruh kepercayaan penuh terhadap pelantikan Saifullizan untuk menerajui Kontinjen Sarawak berdasarkan pengalaman luas yang dimilikinya sebagai pemimpin di peringkat negeri.
Katanya, pengalaman itu diyakini mampu membantu Saifullizan meneruskan momentum kecemerlangan pasukan selain meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan PDRM bagi memenuhi ekspektasi masyarakat.

“Saya yakin Tuan Saifullizan mampu meneruskan momentum kecemerlangan serta meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan pasukan bagi memenuhi ekspektasi masyarakat yang semakin tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Saifullizan, 56, yang berasal dari Kedah, mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam perkhidmatan PDRM, meliputi bidang keselamatan negara, risikan, siasatan jenayah, tadbir urus dan integriti, perancangan strategik, perhubungan keselamatan antarabangsa serta pentadbiran kanan polis.
Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak sejak 2025, membantu Pesuruhjaya Polis dalam melaksanakan dasar strategik, arahan dan keutamaan operasi, selain menyelia operasi kepolisan, prestasi organisasi, sumber manusia, tatatertib, integriti, kebajikan dan kesiapsiagaan operasi.
Sepanjang kerjaya dalam PDRM, Saifullizan pernah memegang beberapa jawatan kanan termasuk Ketua Penolong Pengarah, Integriti dari 2021 hingga 2025 dan Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Khas dari 2020 hingga 2021.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Keselamatan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura dari 2018 hingga 2020, dengan tanggungjawab berkaitan penilaian keselamatan, pengurusan risiko serta penyelarasan dengan pihak berkuasa dan rakan strategik
Selain itu, Saifullizan memulakan pengalaman profesionalnya dalam PDRM sebagai Pegawai Siasatan/Interogasi antara 1995 hingga 2018, yang merangkumi pengumpulan risikan, interogasi, siasatan serta penilaian maklumat berkaitan keselamatan bagi menyokong operasi penguatkuasaan dan keselamatan negara.
Dari segi akademik, beliau memiliki Sarjana Sains Sosial (Sains Kepolisan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2015, Diploma Sains Penyiasatan dari Universiti Malaya pada 2008 serta kelayakan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) daripada Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) pada 2024.
Dalam pada itu, Abdul Aziz turut merakamkan penghargaan kepada Mohamad Zainal dan Datin Dr Nitce Isa Medina atas dedikasi serta komitmen sepanjang tempoh perkhidmatan mereka di Sarawak.
Menurutnya, sumbangan Mohamad Zainal bukan sahaja memperkasakan keselamatan negeri, malah turut mengangkat martabat organisasi ke tahap lebih tinggi.
Beliau berkata, perubahan kepimpinan merupakan proses normal dalam organisasi dinamik seperti PDRM dan penting bagi menjamin kelangsungan agenda keselamatan negara.
“Polis Diraja Malaysia amat berbangga kerana sejak dahulu lagi, Kontinjen Sarawak, sebagai sebuah kontinjen yang strategik dan penting, sentiasa diterajui oleh pemimpin yang berjiwa besar, berwibawa dan bijak mengatur pelan keselamatan yang ampuh demi menjamin keamanan di Bumi Kenyalang ini,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Aziz mengingatkan kepimpinan baharu supaya setiap keputusan yang dibuat berpaksikan integriti, akauntabiliti dan rasa keadilan yang saksama, selain menjadi pemimpin yang mampu membimbing, mendengar serta melindungi warga kerja di bawah jagaan mereka.
Oleh Shahrul Qaizat




