SIMUNJAN: Sememangnya tidak dinafikan bahawa keringkam atau selayah adalah merupakan pelengkap busana tradisional masyarakat Melayu dalam negeri ini yang disering digayakan ketika menghadiri majlis khas seperti perkahwinan atau perayaan besar.
Jahitan benang emas atau perak yang bermotifkan sulaman bunga seperti bunga tanjung, bunga ros dan pucuk rebung di atas kain jenis bawal atau kain kasa rubiah menjadikan selendang warisan ini hanya dipakai oleh golongan bangsawan pada zaman dahulu.
Pada zaman sekarang, keringkam kini boleh digayakan oleh sesiapa sahaja dengan selendang, tudung atau skaf warisan itu merupakan lambang kepada keindahan busana tradisional wanita Melayu Sarawak yang mempunyai nilai sentimental.
Meskipun nilainya dianggap sama seperti emas, namun seni tradisi menjahit sulaman keringkam berkenaan kini dilihat semakin pudar dan kurang diminati oleh golongan anak muda pada zaman sekarang.
Maka atas sebab itu, Sadiah Saibi, 69, dari Taman Hijrah di sini telah pun bertindak menyahut seruan untuk menyambung tradisi itu dengan menyertai kursus khas penghasilan keringkam anjuran Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
Beliau bersama empat lagi wanita dari Pekan Simunjan telah mengikuti kursus khas penghasilan keringkam anjuran CENTEXS itu bermula Januari lepas dan dijangka tamat pada Ogos atau September nanti.
Kursus khas berkenaan telah dibiaya dan dipantau oleh CENTEXS dengan Sadiah melahirkan rasa bangga kerana dapat menjadi salah seorang daripada lima penuntut di Pekan Simunjan yang sedang belajar menguasai kemahiran penghasilan kerimpak itu pada masa sekarang.
“Saya berasa amat bertuah kerana telah diberi peluang untuk menyambung seni sulaman warisan masyarakat Melayu Sarawak yang kita ketahui pada masa kini semakin kurang diminati oleh golongan muda.
“Kemahiran menghasilkan keringkam melalui kursus khas ini akan saya pertingkatkan dalam diri dan rakan-rakan lain agar seni sulaman warisan masyarakat Melayu Sarawak berkenaan tidak pupus ditelan zaman kelak,” katanya.
Selain itu, hasil kraf tangan keringkam ini nanti katanya akan dijual atau dijadikan sebagai kegunaan diri sebaik sahaja beliau bersama empat rakan ditauliahkan sijil kemahiran seni tradisi itu selepas tamat kursus.
Malah, Sadiah yakin sulaman keringkam akan terus mendapat tempat dalam kalangan pencinta busana tradisional masyarakat Melayu selagi hasil seni sulaman itu terus digayakan oleh individu melalui media sosial atau pada majlis rasmi.
“Cita-cita saya ialah mahu menjadi pembekal sulaman keringkam di Simunjan. Justeru terima kasih kepada CENTEXS kerana menganjur kursus khas seperti ini dan diharap agar ia dapat menarik minat anak muda untuk menguasai seni tradisi itu di masa akan datang,” katanya.
Oleh VALENTINE NGUMBANG