
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan ekosistem kecerdasan buatan (AI) yang inklusif menerusi penglibatan aktif sektor industri dalam merangka hala tuju teknologi tersebut di negeri ini.
Usaha itu diterjemahkan menerusi sesi libat urus anjuran Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) dengan kerjasama Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) dan Unit Pendigitalan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU) yang menghimpunkan pemimpin perniagaan serta wakil industri di sini, baru-baru ini.
Sesi berkenaan menjadi platform untuk kerajaan dan pemain industri membincangkan peluang, cabaran serta implikasi penggunaan AI dalam pelbagai sektor ekonomi, selain memperkenalkan program Permulaan Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan Sarawak yang dijadual berlangsung pada 27 Julai ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SAIC, Profesor Dr Patrick Then berkata, penglibatan sektor industri amat penting bagi memahami keperluan sebenar industri, mengenal pasti cabaran penggunaan AI serta memastikan setiap inisiatif yang dirancang bersifat praktikal, relevan dan memberi impak.
“AI kini mengubah landskap ekonomi dan industri di seluruh dunia. Justeru, kerjasama erat antara kerajaan, industri dan institusi akademik menjadi faktor penting dalam merealisasikan potensi teknologi ini.
“Program Permulaan Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan Sarawak menjadi platform untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan dalam membentuk hala tuju pembangunan AI di Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Presiden SBF, Dato Jonathan Chai berkata, komuniti perniagaan perlu bersedia memanfaatkan teknologi AI bagi meningkatkan produktiviti dan kekal berdaya saing dalam ekonomi digital.
Menurut beliau, SBF komited meningkatkan kesedaran mengenai AI dengan menguar-uarkan program tersebut kepada persatuan ahli dan rangkaian perniagaan di seluruh Sarawak.
“Kami menggalakkan ahli SBF menyertai program ini dan menyumbang pandangan dalam membentuk hala tuju AI Sarawak,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengarah SCSDU, Adrian Chung berkata, kerjasama berterusan antara kerajaan dan industri penting bagi memastikan pelaksanaan AI dilaksanakan secara tersusun serta berkesan.
Katanya, pengukuhan kerjasama sektor awam dan swasta akan membantu membangunkan dasar serta inisiatif yang praktikal, relevan dan menyokong aspirasi transformasi digital Sarawak.
Sesi berkenaan turut memberi peluang kepada wakil industri berkongsi pandangan mengenai tahap kesiapsiagaan AI, pembangunan tenaga kerja, cabaran transformasi digital serta bentuk sokongan yang diperlukan bagi mempercepat penggunaan teknologi tersebut dalam sektor perniagaan.
Melalui kerjasama SAIC, SCSDU dan SBF, program Permulaan Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan Sarawak dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh kesedaran, kerjasama strategik serta pembangunan ekosistem AI yang mampan dan inklusif di Sarawak.


