Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Sahmura Empayar Melaka antara tiga persembahan di Panggung Bangsawan
  • HIBURAN

Sahmura Empayar Melaka antara tiga persembahan di Panggung Bangsawan

Utusan Sarawak 3 weeks ago
PELAKON Neera Azizi (kiri) dan Ashraf Muslim melakonkan watak dalam kisah Tun Fatimah dalam Teater Bangsawan Sahmura Empayar Melaka pada Majlis Perasmian Sidang Media Pementasan Tiga Teater Klasik di Panggung Bangsawan di sini malam tadi. Pementasan berkenaan melibatkan Teater Bangsawan Sahmura Empayar Melaka, Teater Puisi Tinta Runtuhan Bila Keris Berdenting Berbisik dan Teater Tradisional Tun Fatimah Srikandi Empayar Melaka yang akan dipentaskan pada akhir Mei ini dan Jun depan. Pelakon lain yang membarisi pementasan teater berkenaan ialah Datuk Jalaluddin Hassan dan Zack Kool. FOTO BERNAMA

MELAKA: Teater Bangsawan Sahmura Empayar Melaka antara tiga pementasan sejarah klasik yang bakal berlangsung di Panggung Bangsawan di sini pada akhir Mei dan pertengahan Jun depan.

Presiden Pertubuhan Teater Melaka (Pertem) Lokman Ghani berkata Teater Bangsawan Sahmura Empayar Melaka yang akan dipentaskan selama tiga hari bermula 23 Mei ini, menggabungkan persembahan Malaysia dan Singapura menerusi badan seni tarian Melayu republik itu Sriwana Singapura.

“Pementasan ini hasil memorandum persefahaman kebudayaan yang ditandatangani antara Pertem dan Sriwana Singapura pada tahun lepas, bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala menerusi program kebudayaan khususnya persembahan seni teater,” katanya pada sidang media, di sini malam tadi.

Beliau berkata Teater Bangsawan Sahmura Empayar Melaka memaparkan kisah suka duka dan perjuangan tiga srikandi Melayu, iaitu Tun Kudu, Tun Teja dan Tun Fatimah.

Teater itu dibarisi pelakon terkenal tanah air antaranya Neera Azizi, Ashraf Muslim, Datuk Jalaluddin Hassan, Zack Kool dan Julia Larica selain turut menampilkan persembahan bekas atlet silat negara Mohd Al Jufferi Jamari.

Beliau berkata dua lagi karya sejarah klasik yang bakal dibawa ke pentas teater oleh Pertem dengan kerjasama produksi Boolan Trending ialah Teater Puisi Tinta Runtuhan Bila Keris Berdenting Berbisik pada 31 Mei dan Teater Tradisional Tun Fatimah Srikandi Empayar Melaka dari 13 hingga 15 Jun depan.

Teater Puisi Tinta Runtuhan Bila Keris Berdenting Berbisik menjanjikan kelainan kepada peminat teater, khususnya peminat seni silat, kerana menggabungkan elemen silat, puisi dan tarian dalam satu naskah persembahan.

“Bekas juara silat dunia Mohd Al Jufferi merupakan tonggak utama teater berkenaan dan dibantu tiga pertubuhan silat, iaitu Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia, Persatuan Seni Silat Lingkaran Karet dan Kumpulan Silat Seni Pertem,” katanya.

Beliau berkata tiga karya sejarah klasik itu menjadi pilihan Pertem kerana genre berkenaan dilihat sinonim dengan Melaka yang kaya sejarah kepahlawanan zaman dahulu, sekali gus memartabatkan sejarah menerusi seni teater.

Sementara itu, Neera yang melakonkan watak utama sebagai Tun Fatimah dalam Teater Bangsawan Sahmura Empayar Melaka dan Teater Tradisional Tun Fatimah Srikandi Empayar Melaka, berkata adegan bersilat merupakan cabaran buatnya yang tiada asas atau ilmu seni persilatan.

Bagaimanapun katanya itu bukan halangan baginya dalam menjayakan watak berkenaan kerana mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada Mohd Al Jufferi.

“Sekalipun tidak ada asas, saya dapat kuasai teknik persilatan yang betul hanya dalam masa singkat kerana mendapat bimbingan ramai yang hebat,” katanya.– Bernama

Continue Reading

Previous: Jenazah seniwati Sophia Ibrahim selamat dikebumikan
Next: Muzik janaan AI kawal selia beri ancaman kepada industri muzik tempatan -RIM

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.