APABILA bercakap mengenai sagu, sejarahnya memang panjang. Sagu dihasilkan dari pokok rumbia (mulong). Sagu telah menjadi bahan dagangan penting di Sarawak sebelum kedatangan kuasa Barat ke Sarawak lagi.
Malah sagu menjadi tanaman komersial utama sebelum lada dan getah diperkenalkan di Sarawak.
Sagu merupakan industri tradisional dan amat rapat dengan masyarakat Melanau. Masyarakat Melanau menjadi masyarakat utama yang mengusaha dan mengeluarkan sagu untuk keperluan tempatan dan juga eksport.
Kawasan seperti Mukah dan Oya yang didiami masyarakat Melanau merupakan kawasan utama pengeluaran sagu di Lembah Rejang. Selepas itu diikuti dengan Bintulu, Matu dan Bruit serta kawasan utara Sarawak.
KEPERLUAN SAGU
Daripada aspek kegunaannya, sagu biasanya didagangkan oleh penduduk Sarawak ke luar sebagai bahan makanan. Biasannya ia menjadi antara makanan utama penduduk di alam Melayu selain beras. Atas sebab itu sagu mendapat pemintaan daripada penduduk di alam Melayu.
Pedagang Sarawak akan membawa sagu ke merata tempat di alam Melayu seperti Brunei, Pontianak, Johor, Singapura dan Sumatera. Apabila Singapura dijadikan oleh British pada awal abad ke-19 sebagai pusat pedagangan bebas, pemintaan sagu semakin tinggi. Ini kerana sagu memasuki era revolusi industri dunia kerana sagu tidak semata-mata sebagai barangan makanan tetapi keperluan industri tekstil.
Perkembangan indutsri tekstil di Eropah dan Amerika Syarikat memerlukan bahan kanji yang murah untuk membangunkan industri mereka. Sagu menjadi salah satu bahan penting dalam industri ini menyebabkan pemintaannya tinggi.
Hal ini membawa saingan antara pedagang Melayu dari Brunei dan Kuching untuk mendapatkan bekalan sagu dari Lembah Rejang bagi tujuan eksport ke Singapura. Pedagang Melayu dari Kuching menggunakan ejen yang dilantik di hulu sungai, Mukah untuk mendapat bekalan sagu.
Persaingan mendapat bekalan sagu ini berterusan sehingga James Brooke mendirikan kerajaan Sarawak moden di Kuching pada 1841.
KRISIS
Apabila James Brooke bertapak di Sarawak, orang Cina pula memain peranan mereka dalam industri ini dengan menubuhkan kilang-kilang pemprosesan sagu di Kuching. Borneo Company juga menyertai industri sagu ini dengan turut mendirikan kilang memproses sagu. Hal ini menunjukkan hubungan antara tiga kaum penting dalam kemajuan industri sagu dengan masyarakat Melanau mengusaha dan mengeluarkan sagu, pedagang Melayu pula mengeksportkannya ke luar dan orang Cina pula melibatkan diri dalam industri pemprosesan.
Ketika itu kerajaan Brooke di Kuching mengalami masalah kewangan kerana berdepan dengan usaha penghapusan penentang beliau termasuk aktiviti yang beliau anggap “lanun”. Perdagangan sagu pula menjadi amat lumayan untuk membangunkan ekonominya.
Persaingan antara orang Melayu dari Kuching dengan pedagang-pedagang Brunei menyukarkan Sarawak mendapat keuntungan besar daripada dagangan ini.
Keadaan bertambah sukar apabila munculnya persengketaan antara pembesar Brunei yang menguasai Mukah pada pertengahan 1850-an. Persengketaan antara mereka memberi impak kepada ekonomi Sarawak. Ini kerana krisis ini melibatkan pula sekatan perdagangan ke atas orang Melayu di Kuching untuk mendapat bekalan sagu di Mukah.
Hanya pengiran-pengiran Brunei sahaja boleh berdagang terus dengan penguasa sagu di Mukah.
Akibatnya berlaku kekurangan bekalan sagu yang menjejaskan ekonomi Sarawak. Kesan daripada itu, James Brooke campur tangan dalam krisis tersebut. Kesudahan krisis ini menyebabkan kawasan kaya dengan sagu ini iaitu Mukah dan kawasan sekitarnya diserah kepada Sarawak pada September 1861.
KEMAKMURAN
Penguasaan kerajaan Brooke ke atas Mukah memberi kemakmuran ekonomi kepada Sarawak. Sagu menjadi eksport utama bagi Sarawak ketika itu. Penambahan wilayah Limbang yang juga mengeluarkan sagu pada 1891 menambahkan lagi kemakmuran ekonomi Sarawak. Malah sagu menguasai ekonomi Sarawak sehingga penghujung abad ke-19.
Beberapa pedagang Cina dan Borneo Company mengambil peluang untuk mendirikan kilang mereka di Mukah bagi memudahkan usaha mendapat bekalan sagu. Dari segi eksport sagu semasa era Brooke, ada tiga jenis sagu yang dieskport iaitu sagu mentah, tepung sagu dan pearl sago. Ketiga-tiga jenis sagu ini menjadi eksport utama Sarawak ketika itu.
Nilai eksport ketiga-tiga jenis sagu ini menampakkan peningkatan ketara dari 1876 hingga 1877. Nilai eksport tepung sagu misalnya meningkat dari $313,559 pada 1876 kepada $337,530 pada 1877. Nilai eksport sagu mentah dan pearl sago pula adalah $12,494 dan $4,068 masing-masing pada 1877.
CABARAN
Salah satu cabaran besar dalam industri sagu di Sarawak pada zaman Brooke ialah wabak penyakit. Apabila tercetusnya wabak penyakit cacar di Mukah, Oya dan Matu pada awal 1880-an berlaku penurunan dalam hasil sagu. Penduduk yang mengerjakan sagu tidak mahu keluar rumah dan ada yang dikuarantin.
Masalah ini membawa penurunan nilai eksport sagu Sarawak ke paras rendah seperti pada 1881. Pada tahun tersebut eksport ketiga-tiga jenis sagu ini adalah bernilai $9,000, $20,000 dan $21,000 bagi sagu mentah, tepung sagu dan pearl sago.
Masalah ini pernah dialami oleh Sarawak sebelum Mukah menjadi sebahagian dari wilayah Sarawak. Sebelum itu masalah pengangkutan juga menjadi halangan dalam kelancaran perdagangan sagu. Cuaca yang kurang baik menyebabkan laut bergelora kadangkala membawa masalah ini.
Satu lagi cabaran besar dalam mengusahakan industri sagu ini adalah berlakunya pengubahsuaian bahan sagu tersebut. Hal ini membawa kepada kualiti sagu tersebut pada tahap yang rendah. Pihak kerajaan memandang serius tentang perbuatan tidak bertanggungjawab ini.
Perkembangan industri sagu di Sarawak pada abad ke-19 ini menyaksikan bahawa sagu merupakan satu industri yang kukuh dan terus menjana pendapatan Sarawak ketika era Brooke. Perkembangan industri ini pada abad ke-20 akan dibicarakan pada wacana yang akan datang.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).