
KEMAJUAN teknologi membawa kemudahan dalam kehidupan seharian, namun seiring perkembangannya, ia turut mengakibatkan pencemaran yang menggugat kelestarian bumi.
Hal ini turut dibebankan dengan pelepasan karbon dalam industri penerbangan yang dianggarkan sekitar 915 juta tan karbon dioksida (CO₂) setiap tahun.
Pelepasan karbon yang tidak terkawal boleh mengubah iklim dengan drastik, termasuklah peningkatan suhu global yang menyebabkan pencairan ais di kutub seterusnya mengakibatkan kenaikan paras laut serta kejadian cuaca ekstrem seperti banjir, ribut dan kemarau.
Selain itu, pelepasan karbon yang tinggi juga akan memberi kesan kepada kesihatan awam dengan meningkatkan risiko masalah pernafasan dan penyakit kronik yang berkaitan.
Sebagai respons kepada krisis ini, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) telah menetapkan sasaran pelepasan karbon sifar bersih dalam industri penerbangan menjelang 2050.
Sasaran ini disokong oleh negara-negara anggota yang bersetuju untuk mengurangkan pelepasan karbon melalui penggunaan teknologi baharu, peningkatan kecekapan bahan api dan pengenalan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).

Penggunaan SAF contohnya dapat menawarkan penyelesaian iklim yang bijak dengan menggunakan karbon yang sudah wujud dalam ekosistem.
Dalam pembakaran SAF, hasil gas utamanya adalah CO₂ dan wap air, tetapi pelepasan karbon bersihnya lebih rendah kerana karbon yang dibebaskan berasal daripada proses semula jadi yang ada dalam atmosfera.
Selain itu, SAF menghasilkan lebih sedikit jelaga dan sulfur namun tetap masih rendah berbanding hasil daripada bahan api fosil.
Seiring dengan komitmen global ini, Sarawak mengambil inisiatif memposisikan diri untuk menjadi sebahagian rantaian kelestarian ini meskipun perlu berhadapan dengan persaingan global yang sengit.
Beberapa negara maju telah pun mendahului dalam perlumbaan penghasilan SAF ini. Amerika Syarikat sebagai contoh telah mengoptimumkan penggunaan minyak masak terpakai (UCO) dan minyak soya sebagai bahan mentah utama.
Sementara itu, negara-negara Eropah seperti Jerman dan Perancis lebih bergantung pada minyak rapeseed dan sisa pertanian.
Di Singapura pula dengan kedudukannya sebagai hab penerbangan serantau telah mula mengitar semula sisa industri makanan untuk dijadikan bahan asas SAF.
Namun, Sarawak membawa pendekatan yang unik dan berbeza melalui teknologi mikroalga dengan kerjasama kepakaran dari negara Jepun.
Berbanding bahan mentah konvensional yang digunakan negara-negara lain, mikroalga dapat menawarkan beberapa kelebihan kompetitif yang ketara.

Keupayaan mikroalga menyerap CO₂ adalah antara 10 hingga 50 kali lebih efisien berbanding tumbuhan darat menjadikan ia alat semula jadi yang berkesan dalam mengurangkan karbondioksida di atmosfera.
Di Sarawak, kelebihan ini dimanfaatkan sepenuhnya apabila karbon dioksida yang terhasil daripada industri seperti loji janakuasa arang batu di Sejingkat digunakan sebagai sumber karbon untuk mempercepatkan pertumbuhan mikroalga.
Berbeza dengan tanaman biofuel lain, penanaman mikroalga tidak bersaing dengan tanaman makanan kerana ia boleh dibiakkan di kawasan yang tidak sesuai untuk pertanian tradisional.
Ia adalah kelebihan penting bagi Sarawak yang memiliki keluasan tanah sekitar 12.4 juta hektar dengan sebahagian besar daripadanya sesuai untuk pembangunan projek hijau tanpa menggangu kawasan pertanian utama.
Kawasan luas ini membolehkan Sarawak melaksanakan projek SAF berasaskan mikroalga dengan skala besar tanpa menjejaskan pengeluaran makanan tempatan, sekali gus menyelesaikan masalah persaingan antara penggunaan sumber untuk makanan dan pengeluaran bahan api, satu isu yang sering menjadi cabaran dalam industri biofuel.
Tambahan lagi, mikroalga mempunyai daya adaptasi yang tinggi dengan kemampuan tumbuh dalam pelbagai jenis air termasuk air payau, satu ciri yang sangat sesuai dengan ekosistem pesisir Sarawak.
Selain itu, iklim tropika Sarawak yang menerima cahaya matahari sepanjang tahun memberikan kelebihan tambahan dalam proses pengkulturan mikroalga.
Sinaran matahari yang konsisten ini memastikan mikroalga dapat menjalankan proses fotosintesis dengan lebih cekap, meningkatkan kadar pertumbuhan dan produktiviti.
Kombinasi kelebihan unik ini menjadikan Sarawak satu-satunya wilayah yang mampu menghasilkan SAF secara rendah karbon dari huluan ke hiliran.
Proses penghasilan SAF berasaskan mikroalga merupakan satu rantaian teknologi hijau yang terancang. Pertama, mikroalga dibiakkan dalam sistem terkawal sama ada menggunakan bioreaktor moden atau kolam terbuka supaya ia secara aktif menyerap CO₂ melalui proses fotosintesis.
Keunikan mikroalga terletak pada kadar pertumbuhannya yang cepat, membolehkan penuaian dilakukan dalam tempoh singkat berbanding tanaman tradisional.
Biojisim yang dituai akan melalui proses pengekstrakan canggih untuk mendapatkan minyak kaya lipid yang menjadi bahan asas penghasilan bahan api.
Tahap akhir melibatkan penapisan minyak tersebut menggunakan teknologi Hydroprocessed Esters and Fatty Acids (HEFA) yang menukarkannya menjadi bahan api penerbangan berkualiti tinggi.
Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), permintaan global terhadap SAF dijangka mencapai lebih daripada 450 juta liter sehari menjelang tahun 2050. Jumlah ini selaras dengan sasaran pelepasan karbon sifar bersih yang ditetapkan oleh ICAO.
Dengan kapasiti pengeluaran dijangka mencapai 100,000 tong sehari menjelang 2030, terutamanya melalui projek di Bintulu yang melibatkan kawasan penanaman mikroalga seluas 4,000 hektar dengan sasaran tambahan kapasiti dari loji di Gedong yang diusahakan dengan kerjasama syarikat Jepun, Chitose, kapasiti SAF yang mampu dihasilkan dianggarkan sekitar 15.9 juta liter SAF sehari.
Jika SAF dijual pada harga pasaran semasa antara AS$1.5 hingga AS$2.5 satu liter, Sarawak berpotensi meraih pendapatan tahunan sehingga RM1 bilion atau lebih, bergantung kepada harga pasaran dan kadar pengeluaran sebenar.
Pendapatan ini boleh ditingkatkan lagi jika Sarawak mampu mendapatkan pensijilan kelestarian antarabangsa untuk produk SAF yang dihasilkan supaya dapat memasuki pasaran eksport dengan harga premium.
Kewujudan projek SAF ini secara tidak langsung akan turut memberi limpahan ekonomi kepada komuniti tempatan melalui penciptaan ribuan peluang pekerjaan baharu, khususnya dalam bidang penyelidikan, kejuruteraan, pentadbiran dan logistik.
Hal ini akan membuka ruang kepada institusi pengajian tinggi tempatan seperti Unimas, Swinburne Sarawak dan Curtin Miri untuk memainkan peranan penting dalam melatih dan menyelidik kaedah baharu serta meningkatkan kecekapan pengeluaran SAF melalui program kerjasama industri-akademik.
Projek SAF berasaskan mikroalga Sarawak menggabungkan sains, teknologi dan tanggungjawab sosial untuk masa depan lebih hijau. Inisiatif ini bukan sekadar mengurangkan pelepasan karbon, tetapi mencipta peluang pekerjaan hijau dan membangunkan kepakaran tempatan serta memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.