
-Foto ADUN Lingga
SIMANGGANG: Satu mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pembangunan Sosial Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Wisma SADA di sini, semalam.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis itu memberi tumpuan utama kepada status semasa pelaksanaan projek-projek pembangunan sosial di bawah inisiatif SADA.
Sejumlah projek telah disenaraikan, merangkumi pelbagai inisiatif yang menyentuh pembangunan kemudahan awam dan infrastruktur komuniti, pembangunan sukan dan belia serta kesihatan dan kebajikan.
Harden menzahirkan keprihatinan beliau terhadap kemajuan projek-projek tersebut dan berharap agar segala proses dapat dipercepatkan agar manfaatnya sampai kepada rakyat dengan segera.
Beliau turut menegaskan keperluan penyelarasan yang efektif antara agensi pelaksana, penyelesaian isu teknikal di lapangan, serta memastikan peruntukan digunakan secara optimum dan berimpak tinggi.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menekankan pentingnya setiap projek diberikan kemas kini status yang jelas dan terkini, supaya segala kemudahan yang dirancang dapat disampaikan kepada komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga dengan lebih cepat dan berkesan.
Secara keseluruhan, mesyuarat yang diadakan itu telah memberi tumpuan kepada penyelarasan status pelaksanaan pelbagai projek pembangunan sosial di bawah inisiatif SADA.
Setiap projek yang dirancang yang merangkumi infrastruktur asas, kemudahan sukan, pembangunan komuniti, dan kebajikan sosial adalah bertujuan untuk memperkasakan kualiti hidup rakyat luar bandar, sejajar dengan aspirasi pembangunan negeri Sarawak menjelang 2030.
Kerajaan Sarawak terus komited untuk mempercepatkan pembangunan sosial luar bandar, selaras dengan agenda pembangunan yang inklusif, digital dan berteraskan transformasi ekonomi menjelang 2030.
Oleh Adi Safarman