

DATO’ Sri Rohani Abdul Karim mempengerusikan sesi libat urus Projek Rumah Burung Walit Bahagian Sri Aman di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, di Kuching, hari ini. Foto: SADA
KUCHING: Sesi libat urus projek rumah burung walit Bahagian Sri Aman telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, di sini hari ini.
Sesi tersebut dipengerusikan bersama oleh Pengerusi Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA), Dato’ Sri Rohani Abdul Karim serta Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Datu Dr Adrian Susin Ambud.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk pembentangan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak berhubung pembangunan rumah burung walit serta pengenalan sistem ID rumah burung walit.
Selain itu, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) turut memberi penjelasan mengenai isu perlesenan pembinaan rumah burung walit, termasuk aspek menternak, mengutip dan menjual sarang burung walit.
Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak pula membentangkan taklimat mengenai peruntukan di bawah Perintah (Aktiviti-Aktiviti Ditetapkan) Sumber Asli dan Alam Sekitar 1994 yang berkaitan dengan industri tersebut.
Jabatan Tanah dan Survei turut mengambil bahagian dengan memperincikan prosedur permohonan lesen bagi tujuan pembinaan dan penyelenggaraan bangunan atau struktur rumah burung walit.
Dalam kenyataan SADA, sesi libat urus ini menjadi platform penting untuk menyelaras dasar, mengharmonikan prosedur serta memastikan pembangunan industri sarang burung walit di Bahagian Sri Aman dapat dilaksanakan secara mampan dan teratur.
Turut hadir Ahli Jawatankuasa Pemandu SADA, Datuk Amar Jaul Samion dan Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, selain wakil agensi kerajaan berkaitan.
Oleh Adi Safarman