SAC Lim Sam Aik dilantik Ketua JSJ Sarawak baharu

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DATO Mancha Ata (tengah) menyaksikan upacara penyerahan tugas antara Asisten Komisioner Polis (ACP) Ishak Yaakob dan SAC Lim Sam Aik (kanan) semasa majlis Serah Terima Tugas Jawatan di Mes Pegawai Kanan IPK Sarawak, hari ini.

KUCHING: Senior Asisten Komisioner (SAC) Lim Sam Aik komited membendung jenayah di negeri ini setelah dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak.

Jawatan tersebut, sebelum ini disandang oleh SAC Wong Ing Fung yang juga ketua JSJ wanita pertama Sarawak dan meninggalkan jawatan tersebut selepas dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sarawak yang baharu.

Lim sebelum ini menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Bahagian D9 (Siasatan Khas), yang mana dia mempunyai pengalaman mengendalikan kes-kes jenayah berat seperti penculikan, pembunuhan, rompakan dan kes berkaitan kesalahan senjata.

Menjelang majlis serah tugas tersebut yang diadakan di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, beliau turut menyatakan kajian awal mengenai aktiviti jenayah di Sarawak telah dilakukan dan mendapati terdapat elemen gengsterisme. Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa perlu membiasakan diri dengan situasi tempatan terlebih dahulu sebelum melakukan penilaian lanjut.

Selain itu, beliau turut menggesa orang awam untuk memainkan peranan penting dalam mencegah aktiviti jenayah dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Majlis serah terima tugas itu juga dihadiri oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata.

Oleh Connie Chieng