
MIRI: Petugas kesihatan di Hospital Miri menerima penghargaan apabila sebanyak 400 pek bubur lambuk diagihkan menerusi Program Jerayawara Bubur Lambuk, petang semalam.
Program di bawah inisiatif Saberkas Prihatin anjuran Saberkas Cawangan Pujut itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut, Adam Yii Siew Sang dengan kehadiran Pengarah Hospital Miri, Jack Wong.
Pengerusi Saberkas Cawangan Pujut, Warziedea Ahmad berkata, program berkenaan merupakan antara usaha berterusan pihaknya dalam menyantuni komuniti serta menghargai pengorbanan barisan hadapan yang komited menjalankan tugas demi kesejahteraan masyarakat.
“Agihan bubur lambuk ini sebagai tanda terima kasih kepada petugas kesihatan yang bekerja tanpa mengira masa, khususnya dalam memastikan perkhidmatan kesihatan sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.
Program yang turut mendapat kerjasama PERKEP Hospital Miri serta Perkumpulan Wanita Brighton itu berjalan lancar dan menerima sambutan positif daripada warga hospital.
Oleh Liong Chai Ling