Saberkas perkukuh kepimpinan belia, 70 peratus jawatan diisi golongan muda

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali Saberkas ke-18 di Sibu, hari ini.

SIBU: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) terus memperkukuh agenda pembaharuan kepimpinan belia apabila menetapkan 70 peratus jawatan di peringkat unit, cawangan dan negeri diisi oleh ahli berusia 39 tahun ke bawah bagi melahirkan lebih ramai pelapis kepimpinan negeri dan negara.

Presidennya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pindaan perlembagaan yang dilaksanakan sejak 2020 membuktikan komitmen pertubuhan itu untuk memberi ruang lebih luas kepada golongan muda memimpin organisasi.

Menurutnya, langkah tersebut membolehkan lebih ramai pemimpin belia tampil sebagai generasi pelapis yang mampu membawa Saberkas seiring dengan perubahan landskap belia masa kini.

“Pada hari ini kita telah melihat tampilnya lebih ramai ahli belia dan kepimpinan belia yang bakal menjadi pelapis kepimpinan negeri dan negara pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali Saberkas ke-18 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, Saberkas perlu bergerak seiring dengan perubahan yang berlaku dalam kalangan belia, dan proses itu harus bermula daripada kepimpinan yang memegang jawatan di semua peringkat organisasi.

Beliau berkata, usaha memperkukuh kepimpinan belia itu turut disokong oleh pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan secara berterusan oleh Saberkas.

“Sepanjang tempoh November 2023 hingga Jun 2026, Saberkas telah melaksanakan sebanyak 929 aktiviti melibatkan program kebeliaan dan komuniti di peringkat unit, cawangan serta negeri.

“Kegiatan belia bukan sahaja penting dalam pembangunan modal insan, malah perlu dilihat sebagai agen perpaduan antara kaum dan agama dalam konteks masyarakat majmuk di Sarawak.

“Saberkas perlu memainkan peranan sebagai medium utama pembentukan karakter positif belia yang mempunyai jati diri, dinamik dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, perhimpunan kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila menghimpunkan 410 perwakilan dan pemerhati, selain 66 Exco serta Ex-Officio Saberkas Negeri Sarawak.

“Sebanyak 82 cawangan dari seluruh Sarawak hadir dengan kehadiran penuh, menjadikan perhimpunan kali ini antara yang terbesar pernah dianjurkan oleh Saberkas, selain diadakan semula di Bahagian Sibu selepas kali terakhir pada 2006.

“Saya juga menggesa semua delegasi yang hadir menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam memilih kepimpinan baharu bagi memastikan Saberkas terus relevan kepada masyarakat belia dan komuniti,” ujarnya.

Oleh Tarani Lanting

Kuasai AI atau ketinggalan – Tiang

SIBU: Penguasaan kemahiran kecerdasan buatan (AI) kini menjadi keperluan penting bagi masyarakat untuk kekal berdaya saing dalam dunia pekerjaan, perniagaan