
LAWAS: Pertubuhan Belia Kebangsaan Sarawak (Saberkas) memainkan peranan penting dalam membina pemimpin pelapis yang berwibawa di negeri ini, kata Exco Saberkas Sarawak, Steve Lius.
Beliau menggesa lebih ramai belia khususnya dari luar bandar, untuk menyertai Saberkas yang kini semakin mantap dalam pelbagai aspek pembangunan belia, khususnya dalam menghadapi cabaran era digital yang semakin kompleks.
“Marilah kita bersama-sama melibatkan diri dalam Saberkas kerana ia mampu membangunkan keupayaan kepimpinan di peringkat akar umbi.
“Saberkas menyediakan pelbagai program dan latihan khas untuk membentuk kemahiran kepimpinan dalam kalangan belia, menjadikan mereka lebih bersedia untuk memimpin secara berkesan di masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas Program Larian Baton sempena Hari Belia Negara 2025 peringkat Zon Borneo di Pekan Merapok, hari ini.
Steve berkata, melalui pelbagai aktiviti dan projek komuniti, Saberkas turut menggalakkan penglibatan belia dalam isu-isu masyarakat setempat, sekali gus memberi mereka pengalaman dan kefahaman untuk menjadi pemimpin yang responsif dan peka terhadap keperluan rakyat.
Saberkas juga menyediakan ruang kepada belia untuk membina rangkaian sosial bersama pegawai kerajaan, pemimpin masyarakat, serta organisasi lain yang menurut beliau membuka peluang kerjasama strategik dan pertukaran idea bermanfaat dalam membina kepimpinan masa depan.
“Saberkas juga memberi pendedahan kepada belia tentang isu-isu global dan kepimpinan antarabangsa, membolehkan mereka memahami konteks yang lebih luas serta bersaing dalam arena global,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa organisasi itu memainkan peranan penting dalam membantu belia menyesuaikan diri dengan perubahan dunia yang pantas, sama ada dari sudut sosial, ekonomi atau teknologi.
“Saberkas membekalkan belia dengan pengetahuan semasa dan kemahiran yang relevan agar mereka dapat beradaptasi serta kekal berdaya saing dalam pelbagai bidang,” ujarnya.
Selain itu, Steve menekankan bahawa Saberkas juga memberi peluang kepada golongan belia untuk menyuarakan pandangan dalam penggubalan dasar berkaitan belia dan masyarakat, sekali gus membantu membentuk masa depan Sarawak yang lebih inklusif dan progresif.
“Dengan semua aspek ini, Saberkas berperanan sebagai nadi kepada pembangunan pemimpin pelapis di Sarawak, seterusnya menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.
Program Larian Baton Hari Belia Negara peringkat Zon Borneo menyaksikan Saberkas Sarawak menjadi penggerak utama dalam membawa baton Hari Belia Negara dari Sarawak ke Sabah.
Baton tersebut kemudiannya diserahkan kepada wakil Majlis Belia Malaysia Negeri Sabah untuk dibawa ke Kota Kinabalu, sebelum berakhir di Kuala Lumpur bagi pelancaran rasmi Hari Belia Negara oleh Perdana Menteri pada 15 Jun ini.
Turut hadir Exco Saberkas Sarawak Awangku Bahar Pengiran Jini, Pengerusi Saberkas Cawangan Bukit Sari Kr Abu Bahrin Reduan dan Pemangku Pengerusi Saberkas Cawangan Ba’kelalan, Bidin Untong.
Oleh Adeng Edrus