
SIMANGGANG: Saberkas Cawangan Lingga dengan kerjasama Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Lingga akan menganjurkan Program Gunting Rambut Percuma Kembali Ke Sekolah sempena persediaan menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.
Menurut jurucakap penganjur, program tersebut bertujuan meringankan beban ibu bapa selain membantu pelajar membuat persiapan awal sebelum kembali ke sekolah dalam keadaan kemas dan berkeyakinan.
Program berkenaan akan diadakan pada Ahad ini, bermula 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari di Ruang Legar Pusat Kebudayaan Sri Aman (Wap Ikan Bulu).
Jurucakap itu berkata, program gunting rambut percuma tersebut terbuka kepada seluruh warga Sri Aman, khususnya penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan keutamaan perkhidmatan gunting rambut akan diberikan kepada pelajar-pelajar sekolah yang bakal memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.
Inisiatif itu, katanya, memperlihatkan komitmen Saberkas dan Pergerakan Pemuda PBB untuk terus mendekati masyarakat serta melaksanakan program berimpak langsung kepada golongan sasar.
Selain membantu dari segi penjimatan kos, program berkenaan juga diharap dapat menyemai semangat kebersamaan dan keprihatinan sosial dalam kalangan komuniti setempat.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir lebih awal bagi melancarkan urusan program, khususnya pelajar sekolah yang ingin mendapatkan perkhidmatan gunting rambut secara percuma.
Oleh Adi Safarman