
KUCHING: Presiden Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (Saberkas), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yakin individu yang mempunyai latar belakang dalam Saberkas akan terus diberi kepercayaan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut beliau, berdasarkan pengalaman pilihan raya sebelum ini, ramai calon yang diketengahkan datang daripada Saberkas, sekali gus membuktikan pertubuhan belia itu berperanan sebagai platform melahirkan pemimpin pelapis negeri.
“Kalau kita lihat pada pemilihan yang lalu, paling ramai calon adalah daripada Saberkas. Kalau tidak silap, sekitar 11 atau 12 orang,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Saberkas ke-60, hari ini.
Beliau berkata, perkara itu bukan sesuatu yang dirancang secara khusus, sebaliknya berlaku secara semula jadi hasil proses pembentukan kepimpinan dalam pertubuhan berkenaan.
“Saberkas bukan parti politik, tetapi ia adalah platform membentuk kepimpinan. Di sini kita lihat bagaimana belia pelbagai kaum, Melayu, Cina dan Bumiputera lain, berinteraksi, mengurus program dan memimpin masyarakat,” katanya.
Karim menjelaskan, pengalaman mengendalikan program kemasyarakatan, sukan, kebajikan serta latihan kepimpinan dalam Saberkas memberi pendedahan awal kepada ahlinya untuk memahami keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, proses tersebut secara tidak langsung membina keyakinan kepimpinan negeri terhadap kemampuan mereka untuk diketengahkan sebagai calon.
Beliau menambah, walaupun keputusan pemilihan calon adalah hak mutlak kepimpinan parti, rekod lalu menunjukkan alumni Saberkas sering menjadi antara pilihan utama.
“Ini menunjukkan kepercayaan terhadap sistem pembentukan yang ada dalam Saberkas,” katanya.
Karim berkata, dengan keahlian yang kini mencecah lebih 56,000 orang di seluruh Sarawak, Saberkas akan terus menjadi antara tapak semaian penting dalam melahirkan pemimpin masa depan negeri.
Oleh Shahrul Qaizat