
SIBU: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Dudong meneruskan tradisi Ramadan dengan menganjurkan Program Agihan Bubur Lambuk di Masjid Istiqomah, Jalan Sukun, semalam.
Sebanyak 450 bungkus bubur lambuk itu diedarkan kepada para jemaah selepas solat Jumaat dalam program yang bermula pada jam 1.30 petang itu.
Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Mike Yong Cherng Siong, yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing.
Kehadiran beliau bukan sahaja memeriahkan majlis tetapi juga menunjukkan sokongan terhadap aktiviti kemasyarakatan seperti ini.
Persiapan bubur telah dilakukan sejak pagi dengan bantuan sukarelawan dan ahli jawatankuasa masjid.
Pihak SABERKAS Cawangan Dudong berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menyemai semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Turut hadir ialah Pengerusi SABERKAS Cawangan Dudong, Tiong Sie Keong.
Oleh Tarani Lanting