
KUCHING: Kemeriahan dan semangat kesukanan jelas terpancar dalam kalangan peserta apabila seramai 27 pasukan mengambil bahagian dalam Pertandingan Boling Antara Unit-Unit Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Batu Kitang dan Pasukan Jemputan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang 2025, yang berlangsung di Megalanes Emart Batu Kawa hari ini.
Majlis penutupan serta penyampaian hadiah telah disempurnakan Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim yang turut melahirkan rasa bangga dan gembira atas penglibatan aktif golongan belia dalam program seumpama ini.
“Program seperti ini bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga memperkukuh silaturahim dalam komuniti. SABERKAS telah lama menjadi platform membina kepimpinan dan semangat kesukarelawanan di kalangan belia,” ujar beliau dalam ucapannya.

Beliau juga menekankan pentingnya peranan para veteran SABERKAS sebagai pembimbing generasi muda, sambil menggalakkan belia untuk bersiap sedia memikul tanggungjawab kepimpinan.
“Kami yang lebih berpengalaman ini telah melalui suka dan duka dalam perjuangan ini, maka kamu yang masih muda hendaklah bersedia untuk belajar segala yang perlu dan bersiap sedia untuk mengambil alih tanggungjawab apabila tiba masanya,” tegas beliau.
Berdasarkan jumlah tersebut, 20 pasukan merupakan wakil dari Unit SABERKAS Batu Kitang, manakala tujuh pasukan lain terdiri daripada pasukan jemputan khas dari sekitar kawasan DUN Batu Kitang.
Beliau turut berharap semangat kesukanan yang dipamerkan dapat diteruskan dalam kehidupan seharian, sama ada dalam bidang kerjaya, pelajaran mahupun aktiviti kemasyarakatan.