
LAWAS: Saberkas Cawangan Ba’kelalan dengan kerjasama Centexs Lawas menganjurkan program sempena Hari Terbuka Centexs Lawas, di sini, semalam.
Pengerusi Saberkas Cawangan Ba’kelalan, Steve Lius berkata, program tersebut merangkumi pelbagai aktiviti termasuk kursus memasak, gunting rambut, pertandingan karaoke, permainan dalam talian Mobile Legends serta cabutan bertuah.
Menurut beliau, penganjuran bersama itu merupakan yang pertama diadakan bagi mempromosikan serta menggalakkan penyertaan belia di Lawas dalam pelbagai kursus jangka pendek dan panjang yang ditawarkan.

“Ini penting bagi memastikan belia dari Ba’kelalan dan Lawas tidak tercicir dalam merebut peluang latihan kemahiran yang tersedia,” katanya ketika ditemui media selepas program berkenaan.
Program itu telah dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Saberkas Negeri Sarawak, Awangku Bahar Pengiran Jini.
Sementara itu, Awangku Bahar berkata, penubuhan Centexs Lawas merupakan inisiatif Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bagi memastikan belia tempatan tidak terpinggir daripada memperoleh peluang latihan kemahiran yang diiktiraf kerajaan.

Beliau berkata, pelbagai program dan kursus ditawarkan menerusi pusat berkenaan bagi membantu belia meningkatkan kemahiran serta memperoleh sijil pengiktirafan, sekali gus membuka peluang menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup keluarga.
Dalam pada itu, Awangku Bahar yang juga usahawan makanan di Lawas turut berkongsi pengalaman berkaitan masakan dan penyediaan makanan bersama peserta kursus semasa program tersebut.
Oleh Adeng Edrus