
LAWAS: Pertubuhan Belia Kebangsaan Sarawak (Saberkas) berpotensi menjadi platform unggul bagi melahirkan modal insan berkualiti serta belia Sarawak yang aktif dan cemerlang.
Ini dapat direalisasikan jika belia Sarawak dapat memanfaatkan berbagai program dan aktiviti belia yang mencakupi bidang sukan, kepimpinan dan kemanusiaan yang berkualiti dalam Saberkas.
Setiausaha Agung Saberkas Sarawak, Safiee Ahmad berkata Saberkas menegaskan kepentingan ahli Saberkas untuk terlibat aktif dalam program di kawasan masing-masing agar Saberkas kekal relevan berbakti kepada masyarakat belia Sarawak.
“Kita tidak dapat segala-galanya sempurna sekiranya kita tidak mempelajari, mengalami dan menimba pengalaman sendiri.
“Insya-Allah dengan keyakinan dan komitmen daripada semua pihak, ahli Saberkas yang sekarang ini di seluruh Sarawak yang mempunyai sekitar 56,000 dan 82 cawangan.
“Saya percaya sekiranya belia kita manfaatkan platform yang telah Saberkas sediakan, insya-Allah Saberkas boleh menjadi salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang boleh membantu kerajaan untuk melahirkan generasi pelapis pimpinan akan datang,” katanya pada perasmian Pertandingan Sepak Takraw Veteran anjuran Saberkas Cawangan Ba’kelalan bersama Brunei Legend dan Kelab Pengadil Sepak Takraw Lawas di Arena Lawas hari ini.

Seterusnya Safiee turut memberitahu bahawa Saberkas Sarawak tidak menghadkan acara sukan yang ingin dianjurkan oleh setiap cawangan.
Malahan mereka boleh mengadakan berbagai acara sukan popular dan tradisional yang akhirnya menyumbang kepada kebaikan ahli-ahli Saberkas disetiap cawangan berkenaan.
“Banyak juga acara sukan termasuk Karnival Sukan Saberkas (KASUS) seperti sepak takraw, futsal, bola tampar, bola jarring dan sukan tradisional seperti menyumpit, tarik tali,” tambahnya.
Pertandingan Sepak Takraw Veteran anjuran Saberkas Ba’kelalan ini melibatkan penyertaan 24 pasukan daripada Bintulu, Limbang, Lawas, negeri Sabah dan negara Brunei.
Majlis perasmian dimulakan dengan tarian zumba diikuti dengan perasmian dan lawatan Safiee ke Pasar Tamu Lawas untuk melihat lebih dekat potensi Lawas dalam berbagai aspek pembangunan di daerah paling Utara di Sarawak.
Oleh Adeng Edrus