
KUCHING: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (Saberkas) menganjurkan sebanyak 162 program dan aktiviti sepanjang tempoh tujuh bulan dari Julai 2025 hingga Januari 2026.
Presiden Saberkas, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program tersebut dilaksanakan di peringkat negeri, cawangan dan unit di seluruh Sarawak.
“Daripada jumlah itu, 27 adalah bengkel, seminar, mesyuarat dan taklimat, 62 melibatkan sukan, rekreasi serta kesenian dan kebudayaan, manakala 50 lagi program sosial dan kebajikan.
“Sebanyak 17 program berbentuk latihan dan pendidikan, lima program wanita serta satu program pembangunan usahawan dan ekonomi turut dilaksanakan,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Saberkas ke-60, di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurutnya, antara program utama tahun ini termasuk Kejohanan Futsal Piala Presiden Saberkas yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 3 Mei lepas di Kuching dan Samarahan.
Selain itu, program pengagihan bubur lambuk yang menjadi acara tradisi Saberkas akan terus dilaksanakan di seluruh negeri, termasuk di kawasan majoriti bukan Islam seperti Batu Lintang dan Batu Kawah sebagai platform memperkukuh perpaduan serta penglibatan belia dalam aktiviti kemasyarakatan.
Karim turut memaklumkan, keahlian Saberkas kini mencecah 56,750 orang setakat 31 Januari ini, termasuk 1,387 ahli melalui penubuhan unit kelab di institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata, walaupun had umur belia di Sarawak ialah 40 tahun ke bawah, perlembagaan Saberkas membenarkan maksimum 30 peratus jawatankuasa berusia lebih 40 tahun bagi memastikan kesinambungan kepimpinan.
Oleh Shahrul Qaizat