LAWAS: Sekarang ini Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) di dalam proses mengagihkan Kit Sanitasi dan bantuan kewangan kepada semua Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di seluruh Negeri Sarawak.
Setakat ini sebanyak 45 buah PPDK dan sembilan buah badan-badan amal telah menerima sumbangan daripada SABATI.
Timbalan Presiden SABATI merangkap Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Lawas dan Penaung PPDK Lawas Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud menyatakan demikian pada Majlis Penyampaian Kit Covid-19 dan sumbangan SABATI kepada PPDK Lawas, pada Rabu lalu..
Majlis penyampaian sumbangan ini disempurnakan oleh Presiden SABATI, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan majlis turut dihadiri oleh Datin Dayang Maimunah Awang Daud, Datin Tunung Palong dan Mary Sindang.
Morliah merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas kehadiran Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang yang sememangnya prihatin terhadap warga Sarawak yang memerlukan bantuan seperti Orang Kelainan Upaya (OKU) golongan ibu tunggal, anak – anak yatim, warga emas dan juga rakyat yang terjejas akibat bencana alam.
Pada masa yang sama, beliau telah meneruskan legasi SABATI yang menitikberatkan kerja-kerja amal untuk membantu seluruh pelosok rakyat di negeri ini.
Sementara itu SABATI merupakan sebuah persatuan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai ahli-ahli dari kalangan isteri kepada Ketua Menteri Sarawak, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Menteri-Menteri dan Menteri Muda-Menteri Muda, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Kerajaan serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Peguam Besar Negeri dan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak.
Melalui semua ahlinya, SABATI memberi bantuan kepada rakyat di seluruh pelosok negeri, tidak kira di bandar mahu pun di luar bandar.
Bantuan-Bantuan yang diberi oleh SABATI, terutama semasa perayaan-perayaan seperti Hari Raya Aidil Fitri, Tahun Baru Cina, Hari Gawai dan Krismas, ialah untuk membantu meringankan sedikit beban rakyat yang menyambut perayaan-perayaan tersebut. SABATI juga akan memberi sumbangan jika terdapat berlakunya bencana alam, seperti kebakaran, banjir dan sebagainya.
Baru-baru ini, SABATI tidak ketinggalan menghulur bantuan, seperti set peralatan perlindungan diri (PPE), pelitup hidung dan mulut serta beberapa peralatan untuk keselesaan petugas barisan hadapan, kepada beberapa hospital semasa pandemik Covid-19.
Hospital-hospital yang dimaksudkan ialah Hospital Umum Sarawak, Hospital Sentosa Kuching, Hospital Miri dan Hospital Bintulu.
Hospital Daerah Lawas juga akan menerima sumbangan satu unit Frensenius Model 4008s Dialysis Machine berjumlah RM45,000.00 dan satu unit Renetron Dialyser Reprocessor berjumlah RM45,000 bagi menampung mesin-mesin yang ada sekarang.
Selain daripada itu, Kit Sanitasi juga akan diagihkan kepada Hospital Daerah Lawas. SABATI berharap semua pihak akan mendapat manfaat dan akan dapat menggunakan peralatan yang didermakan sebaik mungkin.
Oleh Adeng Edrus