
KOTA KINABALU: Kerajaan Sarawak mengadakan kunjungan hormat ke atas Kerajaan Negeri Sabah sebagai langkah memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negeri, khususnya berkaitan operasi perkhidmatan udara luar bandar di Borneo.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, hari ini mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Kerajaan Sabah, Datuk Seri Safar Untong, di Menara Kinabalu, di sini.
Menurut kenyataan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak, dalam pertemuan tersebut, Datuk Amar yang juga Pengerusi AirBorneo menyampaikan taklimat berhubung operasi syarikat penerbangan itu yang kini mengambil alih Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) daripada MASwings.
Beliau berkata pengambilalihan tersebut merupakan langkah penting bagi memastikan kesinambungan serta peningkatan kualiti perkhidmatan udara, khususnya bagi kawasan luar bandar dan pedalaman di Sabah dan Sarawak, di samping memperkukuh jaringan perhubungan antara kedua-dua negeri.
“Operasi AirBorneo turut berperanan menyokong agenda pembangunan wilayah Borneo secara menyeluruh serta merangsang pertumbuhan sosioekonomi rakyat melalui akses pengangkutan udara yang lebih cekap dan mampan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pertemuan sama, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai kepentingan bersama dalam memperkukuh integrasi wilayah Borneo serta langkah-langkah strategik bagi memastikan pembangunan berterusan dapat dilaksanakan secara inklusif.
Datuk Amar turut merakamkan penghargaan atas sambutan baik serta kesediaan Kerajaan Negeri Sabah menerima kunjungan tersebut.
Turut mengiringi Datuk Amar dalam kunjungan berkenaan ialah Peguam Besar Negeri, Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar; Timbalan Setiausaha Kewangan Negeri, Datu Hasmawati Sapawi; serta Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin.
Untuk rekod, AirBorneo telah melancarkan penerbangan sulung ke Mukah dan Tanjung Manis dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 2 Januari lalu, susulan pengambilalihan operasi MASwings yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, selepas termeterainya Perjanjian Jual Beli Saham pada 12 Februari 2025.