
KUCHING: Kenyataan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun bahawa Sabah dan Sarawak tidak mempunyai asas perundangan untuk menuntut sepertiga jumlah kerusi Parlimen, disifatkan sebagai tidak tepat dan bercanggah dengan semangat sebenar pembentukan Malaysia.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Dato’ Idris Buang berkata, kenyataan itu adalah ‘mengelirukan dan sama sekali salah’ kerana mengabaikan dokumen asas yang menjadi nadi kewujudan Malaysia, iaitu Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, dokumen-dokumen itu bukan sahaja mempunyai nilai sejarah tetapi telah diwartakan dalam rangka perlembagaan negara.
“Laporan IGC dimasukkan ke dalam MA63 melalui Artikel VIII, manakala pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 2022 yang memasukkan MA63 dalam Artikel 160 telah mengukuhkan lagi asas perundangan tersebut.
“Justeru, untuk mengatakan bahawa tiada asas undang-undang bagi tuntutan Sabah dan Sarawak adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya, tuntutan ini mempunyai asas yang jelas, bukan sahaja dari segi perundangan, malah juga dari sudut moral dan etika,” katanya yang juga seorang peguam dalam kenyataan media, hari ini.

Bekas Speaker Dewan Rakyat itu yang lebih dikenali sebagai Art Harun sebelum ini menyatakan bahawa MA63 tidak pernah menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak perlu memegang 35 peratus kerusi Parlimen, dan dakwaan seperti itu hanyalah naratif politik tanpa asas undang-undang.
Kerusi Parlimen tidak boleh dikurangkan tanpa persetujuan
Sebagai respons, Idris berkata perenggan 19(2) dalam Laporan IGC secara jelas memperuntukkan bahawa kerusi bagi Sarawak dan Sabah tidak boleh dikurangkan tanpa persetujuan kerajaan negeri masing-masing.
Peruntukan itu, katanya, adalah selaras dengan penekanan Suruhanjaya Cobbold bahawa Sabah dan Sarawak mestilah dilayan sebagai rakan setara (equal partners) dalam Persekutuan Malaysia, dan tidak boleh didominasi oleh Malaya.
“Pada asalnya, jumlah kerusi Dewan Rakyat dinaikkan daripada 104 kepada 159, termasuk 15 untuk Singapura. Sarawak diperuntukkan 24 kerusi, Sabah 16 kerusi, dan Singapura 15 kerusi. Ini menjadikan jumlah kerusi negeri-negeri Borneo bersama Singapura sebanyak 55 kerusi, iaitu 35.48 peratus daripada keseluruhan,” jelas beliau.
Namun selepas Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, 15 kerusi yang ditinggalkan telah diagihkan semula kepada negeri-negeri di Semenanjung tanpa persetujuan Sabah dan Sarawak, sekali gus menyalahi semangat peruntukan asal IGC.
“Perkara ini jelas bercanggah dengan maksud sebenar perenggan 19(2) IGC yang menekankan bahawa jumlah kerusi negeri-negeri Borneo tidak boleh dikurangkan melainkan dengan persetujuan negeri-negeri berkenaan. Ini adalah pelanggaran yang tidak boleh diabaikan,” katanya.
Asas moral, etika dan semangat rakan setara
Selain asas perundangan, kata Idris, terdapat juga obligasi moral dan etika yang wajar dipikul Kerajaan Persekutuan untuk mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara.
Beliau menegaskan, semangat pembentukan Malaysia berpaksikan kepada prinsip bahawa negeri-negeri Borneo tidak boleh ditundukkan atau penguasaan mutlak oleh Malaya.
Perkara itu telah ditegaskan berulang kali oleh Suruhanjaya Cobbold, yang menolak sebarang bentuk dominasi daripada Malaya terhadap Sabah dan Sarawak.
“Untuk memastikan Sabah dan Sarawak benar-benar diiktiraf sebagai rakan setara, maka peruntukan sekurang-kurangnya sepertiga kerusi Parlimen adalah amat penting. Ia bukan sahaja menjamin keseimbangan politik, tetapi juga memelihara keadilan dan hak sejarah negeri-negeri Borneo,” katanya.
Setia sejak 1963, kini tuntut keadilan
Idris menambah, sejak pembentukan Malaysia pada 1963, Sabah dan Sarawak telah kekal setia (in perpetuum fidelis) sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan.
Namun, katanya, kesetiaan itu mestilah dibalas dengan pengiktirafan sewajarnya, bukan sekadar dalam bentuk retorik, tetapi melalui tindakan yang nyata dan adil.
“Sabah dan Sarawak tidak pernah goyah dalam kesetiaan kepada Malaysia. Tetapi kesetiaan itu harus dibalas dengan kejujuran dan keadilan. Memberikan sepertiga kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak adalah cara paling tepat untuk membuktikan bahawa semangat asal pembentukan Malaysia terus dihormati,” tegas beliau.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menutup kenyataan dengan mengingatkan bahawa keadilan kepada negeri-negeri Borneo bukan sahaja soal undang-undang, tetapi soal maruah dan integriti negara.
Oleh Shikin Mahmud