KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah memuji langkah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberi penekanan dalam sektor pertanian dan akuakultur menerusi ‘Sabah New Deal’ yang diumumkan semalam.
“Sektor pertanian akan menerima RM59.3 juta daripada peruntukan keseluruhan RM240 juta. Ia melibatkan kira-kira suku atau 24.7 peratus daripada keseluruhan pakej rangsangan itu,” kata menterinya, Datuk Junz Wong semalam.
Wong berkata, ketua menteri mengumumkan peruntukan besar itu berikutan kerajaan negeri Sabah mengiktiraf peranan penting sektor pertanian dan akuakultur yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi Sabah.
“Daripada keseluruhan RM59.3 juta itu, RM25 juta adalah bagi pembayaran pinjaman tanpa faedah, RM13.2 juta untuk penubuhan enam pusat pengumpulan dan RM21.1 juta akan dibelanjakan bagi menambah baik infrastruktur dan logistik Pemasaran Perikanan Sabah (SAFMA),” katanya.
Beliau berkata, peruntukan itu akan membantu Sabah menghidupkan kembali ekonominya dan rakyat negeri itu yang berhasrat memulakan semula usaha sama mereka.
“Pinjaman tanpa faedah itu bertujuan membantu petani, usahawan tani dan penggiat hiliran meringankan beban kewangan mereka. Sabah akan berdepan masalah besar sekiranya ramai yang terpaksa menutup operasi akibat kekangan kewangan.
“Jadi, kami ingin membantu mereka bermula dan memulakan semula pengeluaran masing-masing dengan pinjaman tanpa faedah. Kami mahu mereka terus menyumbang kepada ekonomi.
“Enam pusat pengumpulan akan turut ditubuhkan di Kota Marudu, Kundasang, Lahad Datu, Telupid, Keningau dan Sipitang. Pusat pengumpulan ini akan dikendalikan oleh Korporasi Pembangunan Desa. Menerusi pusat ini, petani dan pemilik ladang tidak perlu lagi bimbang tidak dapat menjual produk mereka.
“Kami akan mengumpulkan hasil itu dan menggunakannya untuk produk hiliran,” katanya sambil memaklumkan kementerian akan meningkatkan rantaian bekalannya untuk melicinkan kesalinghubungan antara pasaran pembekal dan pasaran penggunaan kepada SAFMA.
Kementerian juga akan terus bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan khususnya dalam sektor digital.
“Selain itu terdapat peruntukan berjumlah RM95 juta untuk peralihan Sabah kepada era digitalisasi. Ia akan meliputi infrastruktur, e-dagang dan sebagainya. Saya akan memastikan sektor pertanian dan akuakultur untuk memanfaatkannya.
“Kami ingin membantu petani, nelayan dan usahawan di Sabah menjual produk mereka ke pasaran eksport lebih besar. Platform ini, dengan sokongan kerajaan Sabah akan memastikan produk-produk Sabah oleh rakyat negeri ini akan dipasarkan kepada khalayak lebih luas seperti Lembah Klang, Singapura dan China,” katanya. – Bernama