
DALAM usaha Sarawak dan Sabah menuntut dikembalikan 35 peratus kerusi Parlimen untuk kedua-dua negeri ini seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sesuatu mesti dilakukan oleh rakyat Sabah.
Pertama, stabilkan politik Sabah seperti juga kekukuhan politik Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Kedua, parti asal Sabah sendiri perlu kuat seperti mana Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak sebagai tulang belakang kepemimpinan Negeri Di Bawah Bayu itu.
Ini kerana kestabilan politik di Sabah dan Sarawak akan memberi impak lebih kuat bukan sahaja ketika menuntut dikembalikan 35 peratus kerusi Parlimen, malah selepas itu bagi memastikan kerusi Parlimen tambahan nanti diwakili oleh parti yang memperjuangkan MA63 dan kepentingan Borneo.
Tidak lama lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan.
Ini peluang terbaik masyarakat pelbagai kaum di Negeri Bawah Bayu itu untuk merenung sejenak isu tersebut.
PRN Sabah ke-17 perlu diadakan pada atau sebelum 8 Disember tahun ini.
Ini bermakna, bila-bila masa mulai sekarang untuk rakyat Sabah turun mengundi.
Tarikh popular diramalkan ialah September ini.
Mereka akan memilih parti atau gabungan parti bagi memimpin negeri itu lima tahun akan datang – iaitu tempoh kritikal untuk bersama-sama Sarawak memperjuangkan hak MA63 yang sudah banyak terhakis.
Antara isu utama dijangka mendominasi kempen dalam PRN Sabah kali ini ialah tuntutan terhadap pelaksanaan MA63 dan autonomi Sabah serta isu pembangunan infrastruktur.
Pada PRN 2020 lalu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu parti gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memenangi PRN selepas berjaya meraih 38 kerusi dari 73 kawasan iaitu majoriti lima kerusi.
Keputusan itu menandakan perubahan besar dalam landskap politik negeri Sabah, dengan Datuk Seri Shafie Apdal kehilangan jawatan Ketua Menteri Sabah.

MULA BERSIAP SEDIA
Kini senarionya sudah berubah dengan parti-parti utama mula mempersiapkan jentera dan strategi masing-masing.
Masalah di Sabah terlalu banyak parti selain parti politik di bawah naungan parti dari Semenanjung.
Dengan landskap politik yang semakin berpecah dan dinamik, PRN Sabah ke-17 dijangka menjadi antara pilihan raya negeri paling sengit dalam sejarah moden Sabah.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dijangka bertanding di kesemua 73 kerusi DUN) tetapi persoalannya mampukah gabungan itu memperoleh majoriti dua pertiga.
Namun, kekuatan GRS terletak pada gabungan parti-parti tempatan seperti Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang dianggap lebih dekat dengan denyut nadi rakyat Sabah di samping akan disokong oleh parti-parti lain yang menjadi komponen GRS.
Bagaimanapun, parti komponen GRS, khususnya PBS dan STAR terpaksa bertarung dengan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) untuk meraih sokongan pengundi Kadazandusun Murut dan Rungus.
Parti Warisan (Warisan) pimpinan Shafie Apdal pula memilih untuk bertanding secara solo yang dilihat sebagai usaha untuk menempatkan Warisan sebagai penentu dalam pembentukan kerajaan negeri.
Tumpuan Warisan kini ialah untuk menawan semula kerusi-kerusi kubu kuatnya terutama di kawasan Pantai Timur Sabah.
Bagaimana pula dengan penyertaan parti dari luar Sabah?
Isnin lalu, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya akan memperhalusi cadangan pembentukan gagasan mega atau grand coalition dengan Pakatan Harapan (PH) dan GRS bagi menghadapi PRN Sabah.
BELUM MUKTAMAD
Katanya, langkah itu termasuk menyantuni sebarang perbezaan antara ketiga-tiga gabungan berkenaan terutama untuk memastikan kerusi-kerusi yang akan ditandingi tidak bertindih antara satu sama lain.
Ahad lalu ketika berada di Tawau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH berkata kerjasama antara PH, BN dan GRS pada PRN Sabah amat penting bagi menjamin kestabilan politik di peringkat nasional dan negeri.
Setakat ini, menurut Anwar kerjasama antara PH Sabah, BN Sabah dan GRS masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan, manakala kenyataan berhubung kesepakatan PH, BN Sabah sebelum ini hanya di peringkat kedua-dua parti, belum melibatkan GRS.
Baru-baru ini pula, Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan bersama mengesahkan kesepakatan PH dan BN untuk bekerjasama dalam menghadapi PRN Sabah.
Apakah Ketua Menteri Sabah, Hajiji selaku Pengerusi GRS setuju? Ini kerana sebelum ini, beliau bertegas menyatakan bahawa GRS bersedia untuk bertanding secara solo jika BN dan PH Sabah sudah memuktamadkan keputusan untuk bekerjasama.
GRS juga katanya, sedia memfokuskan kerjasama dengan parti tempatan lain yang sehaluan bagi menghadapi Pilihan PRN17.
“GRS tetap dengan pendirian mahu kerajaan negeri dipimpin parti tempatan selaku tonggak utama sebagai prinsip yang perlu dikekalkan.
“Parti tempatan memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat tanpa mengetepikan peranan dan kepentingan parti nasional dalam kerangka kerjasama yang lebih luas.
“Jika keputusan muktamad PH dan BN bekerjasama dalam PRN akan datang, maka GRS bersedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan,” katanya dalam kenyataan.
Apakah pendirian Hajiji itu mendapat inspirasi daripada Sarawak?
Namun, Isnin lalu Hajiji berkata cadangan kerjasama antara GRS, PH dan BN bagi menghadapi PRN akan dibawa ke mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS terlebih dahulu.
Katanya, gabungan itu tiada halangan untuk bekerjasama dengan PH dan BN memandangkan kerajaan negeri sedia ada juga dibentuk hasil kerjasama GRS-PH Plus.
“Dalam konteks kerjasama, kita tidak mempunyai masalah kerana kerajaan negeri hari ini adalah GRS-PH Plus. Namun, apa jua keputusan untuk PRN nanti, kita akan rujuk kepada AMT GRS terlebih dahulu,”katanya dalam kenyataan.
“Saya menyatakan kepada Perdana Menteri bahawa di Sabah kita perlu melihat aspirasi tempatan bagi mewujudkan persefahaman politik demi kemajuan negeri,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Anwar yang menyifatkan kerjasama antara GRS, PH dan BN sebagai penting untuk menjamin kestabilan politik di peringkat negeri dan pusat.
Anwar yang juga Pengerusi PH ketika dalam lawatan ke Tawau Ahad lalu berkata perbincangan mengenai kerjasama antara PH Sabah, BN Sabah dan GRS masih berjalan dan belum dimuktamadkan.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.