
KUCHING: Kepimpinan di Sabah menyatakan hasrat untuk mencontohi pendekatan pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang disifatkan berjaya meningkatkan hasil negeri serta memperkukuh kebajikan rakyat.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah(GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kejayaan Sarawak dalam meningkatkan hasil negeri menjadi contoh terbaik yang wajar diikuti.
Menurutnya, hasil negeri Sarawak telah meningkat daripada sekitar RM10 bilion pada 2020 kepada RM13.5 bilion pada 2025.
“Di Sabah, ketika tahun 2020, hasil negeri hanya sekitar RM4 bilion dan berlarutan pada tahap itu untuk tempoh yang lama.
“Namun dalam tempoh lima tahun di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, hasil negeri berjaya ditingkatkan kepada hampir RM7 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Jualan Madani di Dewan Serbaguna Kampung Bratan, di sini hari ini.
Armizan berkata, peningkatan hasil negeri membolehkan kerajaan menyalurkan lebih banyak bantuan kepada rakyat termasuk dalam mendepani cabaran kenaikan kos sara hidup.
Katanya, Sarawak juga menjadi negeri terawal mengumumkan peruntukan tambahan bagi membantu rakyat ketika berdepan tekanan ekonomi global.
“Ini menunjukkan bahawa kestabilan politik dan pengurusan ekonomi yang baik mampu meningkatkan hasil negeri, seterusnya membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan kepada rakyat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Sabah akan terus mencontohi pendekatan yang dilaksanakan Sarawak bagi memastikan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat dapat diperkukuhkan.
“Kalau kami di Sabah melihat ini sebagai kaedah terbaik, maka kita akan ikut jejak langkah tersebut,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat