Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • ‘Sabah First’ harus dijayakan melalui hubungan baik Kerajaan Persekutuan dengan negeri – UPKO, PBRS
  • SEMASA

‘Sabah First’ harus dijayakan melalui hubungan baik Kerajaan Persekutuan dengan negeri – UPKO, PBRS

Utusan Sarawak 9 hours ago
Datuk Ewon Benedick (kiri) dan Datuk Arthur Joseph Kurup

KOTA KINABALU: Dasar meletakkan kepentingan dan keperluan Sabah sebagai utama atau ‘Sabah First’, harus dijayakan melalui hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri secara perundingan bijaksana.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup, dalam satu kenyataan bersama berkata usaha merealisasikan dasar itu memerlukan kerjasama semua parti politik tempatan, dan konfrontasi dengan Kerajaan Persekutuan bukan cara yang betul dalam melaksanakannya.

Menurut kenyataan itu, UPKO dan PBRS yang menganggotai gabungan politik kebangsaan ketika ini, adalah ‘jambatan Sabah di Putrajaya’ serta memainkan peranan konsisten dengan parti lain dalam memperjuangkan isu-isu menjadi keprihatinan utama di Sabah, termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“UPKO serta PBRS akan terus menyumbang kepada perpaduan rakyat Sabah dan pada masa sama, ingin menyumbang kepada kesatuan rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Ewon adalah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, manakala Arthur pula Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

UPKO adalah parti komponen Pakatan Harapan (PH), manakala PBRS pula parti komponen Barisan Nasional (BN).

Menurut kenyataan itu lagi, usaha kedua-dua parti melalui platform gabungan masing-masing membuahkan hasil apabila sembilan tuntutan bawah MA63 berjaya diselesaikan Kerajaan MADANI, selain empat tuntutan yang telah diselesaikan kerajaan terdahulu.

Katanya, UPKO dan PBRS akan terus memperjuangkan baki tuntutan MA63 serta keperluan pembangunan ‘Sabah First’ dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030).

Kedua-dua parti juga berpendapat aspirasi tempatan perlu menjadi asas kepada sebarang perundingan gabungan politik di Sabah menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Aspirasi tempatan penting kepada gabungan besar politik bagi menghadapi PRN tanpa menjejaskan kestabilan politik dan keharmonian rakyat yang diperlu untuk membangunkan masa depan Sabah serta menjadikan Persekutuan Malaysia lebih baik,” menurut kenyataan itu lagi.- Bernama.

Continue Reading

Previous: Kadar penggunaan pengangkutan awam negara masih rendah – Zahid
Next: Sarawak fokus bangunkan tenaga hijau, sasar jadi hab tenaga boleh diperbaharui ASEAN

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.