
SIBU: Sabah dan Sarawak memiliki hak penting yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, kata Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kelvin Lau Kor Jie.
Beliau berkata kenyataan beberapa pemimpin politik dari Semenanjung Malaysia yang menentang usaha Sabah dan Sarawak untuk memperoleh 35 peratus kerusi Dewan Rakyat merupakan pengabaian terhadap semangat penubuhan Malaysia.
“Penubuhan Malaysia adalah hasil gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Walaupun Perlembagaan boleh dipinda dengan majoriti dua pertiga di Parlimen, Sabah dan Sarawak harus mempunyai mekanisme untuk memastikan hak mereka terpelihara.
“Nisbah sekurang-kurangnya satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen adalah susunan yang adil untuk memastikan suara kita didengar dan dihormati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Perayaan Pertengahan Musim Luruh anjuran Sayap Wanita SUPP Cawangan Bawang Assan di Dewan Sa’ati, di sini, semalam.
Sehubungan itu, Lau menggesa semua ahli parti dan rakyat Sarawak agar terus bersatu dalam menegakkan hak negeri serta memperjuangkan kedudukan politik yang adil bagi generasi akan datang.
Mengulas mengenai majlis berkenaan, beliau berkata makna perpaduan perayaan itu seiring dengan semangat kesatuan dalam parti kerana hanya dengan kesepakatan dan matlamat teguh, kepercayaan rakyat dan pengundi dapat diperoleh.
“Perayaan Pertengahan Musim Luruh melambangkan perpaduan, keharmonian dan keamanan, sekali gus menjadi detik penting untuk ahli-ahli cawangan mengeratkan hubungan serta mengukuhkan semangat kerjasama,” katanya.
Acara itu berlangsung dalam suasana mesra berkonsepkan kekeluargaan dengan pelbagai juadah disediakan untuk dikongsi bersama ahli jawatankuasa dan parti.
Turut hadir Ahli Dewan Negara, Senator Robert Lau.
Oleh Tarani Lanting