
KOTA KINABALU, 22 Mac -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Projek Lok Kawi Resort City di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, hari ini. Turut hadir Pengarah Yayasan Sabah Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (kiri), Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor (dua kiri), Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tiga, kanan) dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr. Jeffry Kitingan (dua, kanan). --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

KOTA KINABALU: Sabah mempunyai potensi yang amat besar untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negara berikutan kedudukannya yang strategik di rantau ini, selain mempunyai kekayaan sumber asli, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata ini dapat dibuktikan antara lain dengan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia (BIMP-EAGA) yang berpotensi menarik pelaburan asing bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan taraf sosio-ekonomi rakyat di Sabah.
“Saya difahamkan jumlah perdagangan di Sabah pada tahun 2020 mencecah sebanyak RM79.5 bilion iaitu nilai eksport sebanyak RM41.4 bilion dan import sebanyak RM38.1 bilion.
“Kelulusan pelaburan dalam sektor pengilangan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk Sabah pada 2020 ialah sebanyak RM11.95 bilion bagi melaksanakan 15 projek,” katanya ketika merasmikan Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di sini, semalam.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus bekerjasama erat dengan kerajaan Sabah demi memastikan ekosistem yang lengkap untuk menyokong pembangunan industri seperti perkilangan dan pembuatan.
Pada masa sama, katanya Sabah turut berpotensi dalam pembangunan industri aeroangkasa selari dengan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.
“Sebagai contoh, Pejabat Penyelaras Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) telah mencadangkan Kota Kinabalu sebagai kluster aeroangkasa dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Pelaburan ini mampu mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah selain memberi impak positif kepada sektor lain di Sabah susulan peningkatan rantaian pelaburan,” katanya.
- Bernama