Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Sabah ambil alih ekuiti 25 peratus dalam kemudahan ZLNG Petronas – Hajiji
  • BISNES

Sabah ambil alih ekuiti 25 peratus dalam kemudahan ZLNG Petronas – Hajiji

Utusan Sarawak 8 hours ago
DATUK Seri Hajiji Noor. Foto Bernama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah, melalui SMJ Energy Sdn Bhd menandatangani perjanjian induk (HoA) dengan Petronas LNG Sdn Bhd untuk mengambil alih kepentingan ekuiti sebanyak 25 peratus dalam kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pantai (ZLNG) bernilai AS$3.1 bilion (RM13.17 bilion) di Sipitang.

ZLNG, kini dalam pembinaan, dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2027.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerjasama ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam mencapai matlamat pembangunan jangka panjang Sabah, yang termasuk menggalakkan pertumbuhan industri, meningkatkan keselamatan tenaga dan mewujudkan peluang baharu untuk memacu kemajuan negeri.

“Melalui pelaburan strategik seperti ZLNG, kami akan mengukuhkan daya tahan ekonomi negeri selain memastikan manfaat sumber asli Sabah menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Tan Sri Tengku Muhammad Taufik menyaksikan majlis menandatangani HoA di Malaysia Petroleum Club hari ini.

Beliau berkata kemudahan ZLNG dengan kapasiti dua juta tan setahun (MPTA), merupakan tambahan yang ketara kepada landskap LNG Malaysia.

Katanya projek itu melengkapkan operasi LNG Sabah yang berkembang, bersama dua kemudahan LNG terapung lain – PFLNG1 (1.2 MTPA) dan PFLNG2 (1.5 MTPA) – kini beroperasi di perairan Sabah.

Kerajaan negeri turut mengumumkan hasratnya untuk mengambil alih kepentingan penyertaan sebanyak 40 peratus dalam PFLNG1 melalui SMJ Energy, dengan usaha wajar dijadualkan bermula pada separuh kedua 2025.

Beliau berkata trajektori pertumbuhan SMJ Energy sejak menandatangani perjanjian kerjasama komersial (CCA) dengan Petronas pada Disember 2021 adalah pesat. 

Syarikat itu kini memegang 50 peratus kepentingan ekuiti dalam aset pengeluaran minyak kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) Samarang, ekuiti 10 peratus dalam LNG9, ekuiti 25 peratus dalam kompleks petrokimia Sabah Ammonia Urea (SAMUR) dan pemilikan penuh Sabah International Petroleum (SIP), yang mengendalikan aset pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) serta penyimpanan dan pemindahan terapung (FSO).

SMJ Energy turut memegang hak ‘free carry’ dan ‘back-in’ dalam blok penerokaan SB409 (20 peratus), SB403 (20 peratus), SB306A (15 peratus) dan SB306B (15 peratus).

Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy Datuk Dr Dionysia Kibat berkata: “Kami ialah pelabur kewangan berhemat dengan pendekatan berdisiplin dalam membina portfolio. Penyertaan kami dalam ZLNG adalah sebahagian daripada pelan strategik kami untuk terus mempelbagaikan dan mengukuhkan kedudukan dalam sektor huluan, LNG dan petrokimia.

“Peluang ini selaras dengan mandat kami untuk menjana aliran tunai jangka panjang dan stabil daripada aset berkualiti tinggi yang menjana tunai,” katanya.

Matlamat Sabah dalam sektor hiliran juga berkembang pesat. Sabah Energy Corporation (SEC), pengumpul dan pengedar gas negeri memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan gas domestik yang stabil untuk industri di Sabah.

Antara projek utama melibatkan pembekalan gas kepada loji keluli hijau, E-Steel bernilai RM31 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), pelaburan penting yang menyokong usaha Sabah ke arah kepelbagaian industri.

-Bernama

Tags: Bisnes

Continue Reading

Previous: Bursa Malaysia meningkat semula, jejaki petunjuk dari Wall Street

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.