PRESIDEN Tinju Negeri Sarawak (SABA), Dato Rahman Lariwoo menegaskan, belum ada perancangan pihaknya membawa petinju berlatih diluar kawasan bagi menguji keupayaan sebenar mereka.
Meskipun kata Dato Rahman, pendekatan kearah itu dilihat penting dengan peranannya yang boleh menyumbang kepada peningkatan prestasi semasa para petinju sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020.
“Perancangan kita untuk membawa petinju berlatih diluar kawasan memang ada…cuma situasi yang masih belum mengizinkan setakat ini,” ujar Dato Rahman ketika mengulas mengenai perkara itu.
Sambil merujuk kemunculan virus berbahaya (Covid-19) menjadi penghambat keinginan kearah itu.
Apa pun tambah beliau, diharap situasi akan pulih sepenuhnya serta akan dapat memberi ruang untuk mereka melaksanakan program terbabit.
Dalam pada itu, para petinju ketika ini sudahpun kembali menjalani latihan seperti biasa dengan berpandu kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Sembilan petinju terbaik taruhan SABA untuk menghadapi Sukma XX Johor 2020 yang dijadual berlangsung 6 hingga 14 Mac 2021.
Petinju terbabit ialah Dealoniel Mcdelon Bong (60kg) iaitu penyumbang pingat emas ketika Sukma 2018 di Perak.
Christyuden Anak Ripoh (69kg) dan Wilson Berayin Anak Sumbang (56kg) yang juga penyumbang pingat gangsa ditemasya sama dua tahun lepas.
Di samping enam petinju lain iaitu Jackson Chambai Anak Ikeh (49kg), Muhammad Syawal Mohammad Isham (52kg), Mohd. Jamani Abdullah (64kg), Abdul Hakim Abdullah (75kg), Rais Arsyad Sulam (81kg) dan Hellary Anak Hendry (91kg).
Oleh Faizal Bujang