Oleh Abu Adil
Tahun 2094
GEMPAR seluruh penghuni Gunung Santubong. Mereka berasa sangat terkejut dan marah dengan kejadian yang menimpa jiran mereka, Gunung Serapi. Pagi itu, mahu sahaja Langit meruntuhkan dirinya ke atas manusia durjana itu.
“Ya Tuhan, adakah kita giliran seterusnya?”
“Kejamnya, demi duit, manusia .”
“Inilah yang mengundang bala nanti.”
Pemandangan Gunung Serapi yang lazimnya hijau gelap kebiruan kini berwarna coklat tanah oleh aktiviti pembangunan yang dilakukan di situ. Gunung tersebut telah botak dalam masa seminggu sahaja. Khabarnya, sebuah tempat peranginan ala-ala Cameron Highlands akan dibangunkan di situ.
Banyak burung dan serangga yang cuba menyelamatkan diri, menuju ke Gunung Santubong. Haiwan lain yang terhad pergerakannya berlindung di kawasan hutan yang berbaki di sekitar gunung itu.
“Manusia durjana, habis rumahku ditebang malah dibakar. Mujur, semua ahli keluargaku selamat,” kata Pipit yang baru menetap beberapa hari sahaja di situ. Di depan matanya, dia melihat sebuah pokok yang menjadi tempat tinggalnya rebah menyembah bumi ke dalam lautan api.
“Ya, ada mereka yang cuba melawan, tetapi ditembak menggunakan pistol mereka yang serba canggih. Tanah dibakar dan diratakan. Tiada apa yang dapat diselamatkan,” kata pula Tiung. Bebola matanya menjadi saksi melihat di depan mata beberapa haiwan seperti monyet dan beruang matahari ditembak mati tepat di kepala.
Langit yang mendengar berasa teramat marah. Langit terkenal dengan sikapnya yang sentiasa membenci manusia durjana terhadap alam. Sudah berapa banyak bencana alam telah direncanakannya bersama Tuhan untuk menghukum manusia selama beratus tahun. Tapi manusia-manusia durjana ini masih tidak sedar.
Lewat malam itu, satu kata sepakat telah dibuat oleh penghuni hutan. Kemusnahan yang dilakukan manusia terhadap Gunung Serapi dan penghuninya tidak boleh dimaafkan. Alam perlu juga melawan untuk menunjukkan siapa yang berkuasa sebenarnya.
“Aku akan memohon perkenan Tuhan Yang Maha Kuasa untuk melaksanakan cadangan kita. Semoga manusia durjana itu mendapat balasan setimpal,” kata Langit yang diberi tugas mengetuai serangan bagi pihak Alam.
*****
Hujan lebat menyimbah bahagian Kuching pada pagi itu. Pada mulanya, ia kelihatan renyai dan akan berhenti tidak lama lagi. Namun, menjelang tengah hari, sekumpulan besar awan hitam mula berarak ganas menuju ke pusat bandar. Keamatan hujan berubah kepada sangat lebat. Angin pula bertiup kencang melewati kawasan bandar raya. Banyak kenderaan terperangkap di dalam hujan lebat itu yang turut berlaku pada waktu puncak.
Hujan lebat itu berterusan tanpa henti hingga ke lewat malam. Beberapa kilat mula sabung-menyabung dengan guruh yang kuat. Setiap hati yang mendengarnya pasti gementar.
Air Sungai Sarawak mula melimpah ke Tebingan Kuching. Beberapa jalan utama di pusat bandar mula ditenggelami air. Beberapa ketika, siren amaran dibunyikan menandakan aras Sungai Sarawak telah mencapai paras bahaya. Air dan angin bergabung tenaga bersuka ria membasahi bumi pada malam itu. Mereka yakin misi mereka pada malam itu akan terlaksana dengan jayanya.
Panggilan kecemasan 999 sesak dengan rintihan dan raungan manusia meminta tolong. Banyak pusat pemindahan sementara telah tenggelam, memaksa mangsa-mangsa banjir berlari pindah ke kawasan lain yang lebih tinggi. Laungan azan dan doa-doa mula diangkat ke langit di malam yang sangat sejuk itu. Bumbung-bumbung kedai, rumah dan bangunan menjadi talian hayat kepada mereka yang masih terperangkap di tengah lautan bah. Hujan dan angin terus mengajar manusia sepanjang malam itu.
Media massa Malaysia pada hari itu gempar dengan skala kemusnahan Bandar Raya Kuching yang ditenggelami air setinggi bangunan tiga tingkat. Bangunan ikonik Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak pertama kali telah dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara kerana kedudukannya yang agak tinggi. Hanya lautan bah kuning mewarnai suasana pada pagi itu. Ratusan penduduk kelihatan masih terperangkap di atas bumbung, melambai-lambai ke arah helikopter penyelamat yang ternyata masih tergamam dengan situasi ini. Bandar raya itu telah lumpuh sepenuhnya.
Tualang dan rakan-rakannya bangun seperti biasa pada pagi yang sejuk itu. Mata mereka terbuntang melihat suasana di hadapan mereka. Panorama bandar maju dan kelihatan bertamadun sebelum ini kini umpama lautan. Dia terfikir pula nasib manusia yang terlibat di sana.
“Hebat Langit, jika sangkaan ku betul, mungkin ini banjir terburuk yang pernah berlaku di bandar raya ini,” kata Cengal. Seluruh penghuni hutan seperti berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan Langit.
“Aku rasa belum habis lagi,” celah pula Belian sambil matanya memandang tepat ke arah Gunung Serapi yang telah botak. Entah hatinya tiba-tiba berasa gerun melihat gunung tersebut yang telah lama bermandian dalam air hujan. Dia faham akan apa yang berlaku seterusnya.
“BOOOM!”
Satu dentuman kuat kedengaran. Semua memandang ke arah Gunung Serapi. Asap tebal menyelubungi Gunung Serapi. Setelah beberapa ketika, Gunung Serapi telah cacat. Puncaknya yang berbentuk kubah itu telah runtuh. Seluruh gunung tersebut telah runtuh. Akar-akar pokok yang asalnya menahan tanah mula reput dan longgar. Hujan yang sangat lebat untuk beberapa hari telah melincirkan tanah untuk berlari menuruni gunung tersebut dengan gembiranya, merempuh segala yang ada di laluannya.
“Ya, aku rasa itu yang terakhir dari Langit, harap manusia sudah tidak lagi membuat pembangunan di situ,” kata pula Cengal.
Runtuhnya puncak Gunung Serapi menandakan berakhirnya tugas Langit untuk memberi pengajaran kepada manusia. Gunung tersebut kelihatan lebih pendek, sudah tidak layak digelar sebuah gunung.
*****
Tahun 2127
Sinar mentari tembus ke arah mata Belian yang belum bangun dari tidur. Mahu atau tidak, dia harus bangkit dari lena untuk terus bekerja pada siang hari. Jika tidak, tiadalah makanan untuknya pada hari itu.
Di tengah hutan belantara itu, pokok-pokok lain pun mula bangkit dari tidur masing-masing. Masing-masing mengucapkan salam dan sangat bersyukur diberikan peluang oleh Tuhan untuk hidup di bumi untuk sehari lagi.
“Kenapa Kuching nampak sunyi sepi sahaja hari ini, selalunya ada kesesakan jalan rayalah, asap hitam dari kilang berkepul-kepul, bunyi siren kecemasan,” kata Belian yang mengecilkan mata untuk melihat panorama bandar raya itu dari rumah yang mereka diami, Gunung Santubong.
“Entahlah, aku pun perasan, aktiviti manusia di sini semakin berkurangan dari hari ke hari, ada sesuatukah yang berlaku?” soal pula Tualang.
“Tualang, cuba tanya Pipit tu masih belum bangun tidur, mungkin dia tahu apa yang telah berlaku, kerjanya kan asyik terbang,” celoteh pula Orkid yang tinggal berjiranan dengan Pipit di atas pokok Tualang. Dia pun cuba menggegarkan dirinya yang sebatang tinggi itu. Akhirnya, Pipit pun bangun lalu ditanyakan soalan oleh Tualang.
“Eh, aku tak tahulah, kau kan tahu aku bangun dari tidur,” kata Pipit pula.
Soalan ke manakah manusia itu dibiarkan tergantung di benak hati masing-masing. Urusan seharian penghuni hutan itu diteruskan seperti hari-hari biasa. Pohon sesama pohon bersaing secara sihat mendapatkan sebanyak mungkin mandian cahaya dari sang mentari. Semakin banyak cahaya matahari yang diperoleh, kenyang besarlah pohon-pohon dewasa di situ.
“Eh, Langit hari ini tak turunkan hujan lebat kah hari ini?” soal Tualang untuk memulakan bicara lagi.
“Aku sangat gembira hari ini, khabarnya bahawa manusia di planet ini semakin berkurangan, sebab sudah berpindah ke planet lain! Jadi aku tidak marah lagi. Dengan izin Tuhan, cuaca di kebanyakan tempat hari ini cerah untuk kamu semua mencari makanan dan bekerja. Mungkin, aku akan kerap menurunkan hujan, secara renyai pada awal pagi sahaja,” terang Langit yang kelihatan gembira bermain dengan Angin dan Awan.
“Wah, Syukur pada Tuhan, akhirnya usaha kamu bertiga selama berpuluh tahun dah membuahkan hasil! Haraplah mereka jangan kembali lagi merosakkan planet ini lagi,” kata Cengal yang sedari tadi mendengar celoteh mereka semua.
“Hoi, mengumpat bangsa manusia lagi ya!” jerkah Mak Wo yang datang ke kawasan kaki gunung itu. Wanita itu pun lalu duduk di sebuah perdu pokok.
“Eh, maafkan kami Mak Wo,” kata Tualang.
Wanita berumur 40-an itu merupakan penghuni yang berpindah ke dalam hutan beberapa hari lepas. Katanya, disisihkan kerana dituduh gila oleh orang kampung disebabkan rutinnya yang sering bercakap dengan seorang diri. Penghuni hutan pun sangat senang dengan kehadirannya. Sekurang-kurangnya, masih ada bangsa manusia yang merindui kemesraan alam.
“Tak mengapa, memang benar kata kamu semua, sakit dendam bermusuh dengan manusia tamak memang perit, dan syukur, ku lihat Langit, Awan dan Angin hari ini seperti berhari raya menyambut kepergian manusia, sama juga seperti kamu semua,” kata Mak Wo.
“Mak Wo, kenapa bandar Kuching hari ini sunyi. Ke mana semua manusia?”
“Kamu ni Tualang, dah bermusuh dengan manusia pun engkau masih kisahkan mereka ya,”
“Eh, tak semua manusia saya benci, manusia macam Mak Wo kami sayang, tak musnahkan alam,” puji Tualang.
“Manusia semua dah berhijrah ke planet Marikh namanya kalau tak salah aku. Sebab cuaca planet ini semakin ekstrem untuk kehidupan mereka. Setiap tahun, ada banjir besar, ada kemarau, taufan yang melanda, jadi solusi yang mereka fikir mudah ialah pindahkan bangsa manusia yang muda, pandai dan kaya ke planet itu, manakala orang miskin dan tua ditinggalkan di bumi yang semakin rosak ini,” kata Mak Wo.
“Saya jamin Mak Wo, bumi ini sudah tidak rosak lagi, bumi sedang mula memulihkan dirinya sendiri!” kata Langit dengan penuh semangat.
“Macam mana? Bukankah kerosakan yang telah dilakukan manusia ini tidak boleh dibetulkan lagi?”
“Boleh sebenarnya Mak Wo, cuma manusia yang sering lupa dan tak pernah mencuba bersama. Banyak perjanjian dan ikrar yang telah dimeterai, kononnya untuk mengawal perubahan iklim, tetapi semua itu membazir air liur yang memberitahu dan membazir kertas yang dicetak untuk perjanjian itu. Manusia yang tamak tetap tidak berubah, tetap menebang dan membakar hutan-hutan, masih mencemar alam dengan sisa kimia dan asap. Sebab itulah kadang kami marah dengan tindakan mereka, dan kami balas dengan bencana, semua manusia terkena tempias.”
“Jika manusia serius ingin memulihkan bumi, mereka patutnya berusaha dan bekerjasama, tapi akhirnya, berpindah ke planet lain pula,” kata Orkid.
“Jika suasana tenang ini berterusan untuk beberapa tahun akan datang, suhu di bumi akan kembali stabil dan paras laut pun akan kembali menyusut, seiring dengan pembekuan semula ais-ais di kawasan Antartika dan Artik,” ujar Langit.
Pipit mendarat di hadapan Mak Wo. Nafasnya tercungap-cungap setelah terbang memantau situasi di bandar raya itu.
“Nampaknya, bandar Kuching memang sangat sedikit penghuninya, tinggal beberapa kumpulan manusia di dalam kampung sahaja. Burung-burung dari bahagian lain juga melaporkan perkara yang sama.” ujar Pipit. Mak Wo tumpang gembira kerana alam sudah boleh berehat sebentar dari berdendam.
Banyak penghuni hutan lega dan syukur, golongan manusia yang tamak itu mungkin sudah berpindah ke planet Marikh.
“Entah udara apa yang mereka hirup di planet Marikh, aku yakin ia tidak setulen dan sesegar udara di hutan ini,” kata Belian sambil ketawa besar. Penghuni hutan lain pun bergelak ketawa sama.
Mak Wo yang tetap duduk itu berasa sedikit sedih. Dia agak terkilan dengan bangsanya sendiri. Lari meninggalkan Bumi dalam keadaan sangat kotor, dan Bumi semula yang harus merawat dirinya sendiri, biarpun mengambil masa yang agak lama. Lalu dia terfikir.
“Bagaimana jika manusia-manusia itu kembali lagi ke bumi?”