
Foto AFP
MUNICH: Lapan orang cedera selepas sebuah pesawat Ryanair mengalami turbulens teruk akibat ribut kuat di selatan Jerman, memaksa pesawat itu melakukan pendaratan cemas di Bavaria, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan polis tempatan pada Khamis.
Pesawat yang membawa 179 penumpang dan enam anak kapal itu dalam penerbangan dari Berlin ke Milan pada malam Rabu apabila ia mengalami gegaran kuat, menyebabkan lapan penumpang dan seorang anak kapal cedera, menurut kenyataan tersebut.
Pesawat itu kemudian melakukan pendaratan tidak berjadual di Lapangan Terbang Memmingen pada 8.44 malam (1844 GMT), kira-kira 100 kilometer di barat Munich, bagi membolehkan mangsa yang cedera menerima rawatan perubatan.
Tiga individu, termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang mengalami lebam, dikejarkan ke hospital berikutan kecederaan yang serius.
Memandangkan pihak berkuasa tempatan tidak membenarkan pesawat itu meneruskan penerbangan, Ryanair mengatur bas bagi membawa para penumpang ke destinasi masing-masing pada waktu malam, menurut polis. Penerbangan gantian telah disediakan pada pagi Khamis.
Ryanair setakat ini belum memberi sebarang komen berhubung insiden tersebut.
Ribut yang melanda turut menyebabkan kerosakan di kawasan kediaman sekitar rantau itu, dengan angin kencang menerbangkan bumbung beberapa rumah di bandar Ulm, menurut pasukan bomba.– BERNAMA-dpa