PENGUNJUNG tertarik dengan pameran kraf tangan yang tersedia di RWMF 2022.
RWMF yang berlangsung selama tiga hari bermula 17-19 Jun 2022 tersebut pastinya meninggalkan impak besar terhadap industri ekopelancongan dengan pengisian program seperti bengkel muzik, pertunjukan kebudayaan, pameran kraftangan, gerai-gerai makanan, dan konsert malam utama, malah turut disenaraikan sebagai salah satu festival muzik terbesar di Malaysia dalam kalendar pelancongan Sarawak dengan jumlah penonton menghampiri 30,000 orang.
Penggiat ekonomi perusahaan sosial Vianney Evana Vide dari negeri di bawah bayu memanfaatkan peluang berkongsi tapak RWMF sebagai platform mengembangkan empayar perniagaannya dan menyifatkan peluang bersejarah ini mungkin datang hanya sekali sebagai permulaan jenama beras lokal keluaran Sabah ‘Wagas de Asi’ lebih dikenali dan digemari suatu masa kelak.
“Awalnya saya cuma ingin membantu petani tanaman padi luar bandar untuk memasarkan produk mereka namun melihat kepada permintaan serta potensi beras lokal tanpa bahan pengawet ini untuk dikomersialkan ke peringkat global lantas wujudlah idea penjenamaan, pembungkusan, pernilaian kualiti, penjualan, pemasaran melalui media sosial dan ekspo-ekspo pertanian serta mulai menerima tempahan sekaligus menyediakan perkhidmatan penghantaran, sehingga kini sambutan orang awam amat baik malah untuk RWMF ini, syukur semuanya laris terjual” katanya.
Pengasas sabun organik yang diperbuat daripada ‘Engkabang’ atau ‘IIIipe Butter’, Darren Wee turut tidak melepaskan peluang yang diberikan oleh pihak penganjur RWMF berhasrat meletakkan jenama SAVO sebagai pilihan utama produk penjagaan diri yang selamat dan aman digunakan seharian seperti Bario Rice Bang Bar, Pink Clay Bang Bar dan Bang Balm.
“SAVO baru sahaja dilancarkan tahun ini dan strategi pemasaran hanyalah melalui media sosial seperti instagram @thisissavo sebagai percubaan pasaran semasa, memandangkan masih baru ianya belum terkenal dan kami belum ada premis fizikal namun begitu setakat ini, kami menerima jumlah tempahan yang memberangsangkan, pengguna amat meyakini produk organik sebegini kerana ianya tidak meninggalkan kesan sampingan ke atas kesihatan kita,” jelasnya.
Pengusaha kraftangan, Pengurus dan Pemilik Syarikat Bumi Bertuah Josefine Midong Jubin berjaya mencuri perhatian pelancong apabila turut membawa perkakasan lengkap tenunan pua kumbu dan demostrasi proses menenun pua kumbu bertemakan ‘Sugu Tinggi Kumang’ pada RWMF kali ini, ianya mengambil masa sekitar tiga bulan untuk disiapkan dan ditanda harga RM3000 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Pua Kumbu kini tidak asing lagi kerana ianya telahpun terkenal di persada antarabangsa dengan keberanian penggiat industri fesyen memperagakan rekaan mewah dan bersejarah ini sebagai pelengkap busana mereka, saya sedar kekayaan tradisi budaya ini perlu diwariskan kepada generasi muda sebab itulah, syarikat saya di Sibu menyediakan bengkel, pameran, jualan kraftangan dan pembelajaran secara terus kepada mereka yang berminat, ayuh sertai kami, bersama kita pelihara keunikan ini,” katanya.
Ruangan Skrang Tattoo Studio Dayak of Sarawak Borneo antara tapak tumpuan pengunjung dalam dan luar negara yang menampilkan pelukis tatu hebat antaranya Ejau Tatu dan Nicholas Jenta yang berkemahiran menghasilkan karya sepertimana permintaan pelanggan sama ada mengikuti corak contoh yang tersedia ataupun pilihan tersendiri pelanggan merangkumi reka bentuk moden, kontemporari dan tradisional.
“Seronok bila ramai menyukai ‘kalingai’ Iban, inilah suatu cara berkongsi kebudayaan tradisi dengan masyarakat luar, pastinya ini sebuah kenangan yang sukar dilupakan, tiga hari terlalu singkat untuk kami memenuhi permintaan pelanggan, kiranya masih berminat, kami amat mengalu-alukan orang ramai mengunjungi premis kami ataupun ikuti kami di platform instagram @boi_skolang,” ujar salah seorang pelukis tatu. -JAPEN
Oleh JAED TEPUS, MOHD IBNU MUNIR