
SANTUBONG: Lebih lima dekad selepas mencipta nama bersama kumpulan legenda The Commodores, pengasas bersama kumpulan itu, Thomas McClary, menegaskan bahawa masa depan muzik dunia masih terletak pada generasi baharu yang berani membawa perubahan tanpa melupakan akar warisan mereka.
Menurut beliau, perkembangan muzik hari ini memperlihatkan bagaimana generasi baharu bukan sahaja mewarisi pengaruh daripada karya lama, malah mampu membina identiti bunyi tersendiri dengan menggabungkan elemen klasik dan moden.
“Generasi baharu bukan sahaja menerima warisan muzik, malah mereka telah mencipta bunyi dan identiti mereka sendiri dengan mengambil inspirasi daripada muzik lama,” katanya ketika sesi media sempena Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2026 di sini.
Tema RWMF tahun ini, ‘Generasi Baharu, Akar dan Irama’, menurut McClary, menggambarkan dengan tepat hubungan antara muzik lama dan baharu yang terus berkembang melalui interaksi antara generasi pemuzik.
Beliau berkata, pertemuan antara generasi lama dan baharu dalam industri muzik mewujudkan ruang komunikasi kreatif yang mengekalkan elemen nostalgia sambil membuka peluang kepada inovasi baharu.
Dalam pada itu, McClary turut mengingatkan golongan muda agar tidak terlalu bergantung kepada teknologi sehingga mengorbankan kreativiti dan sentuhan manusia dalam penghasilan muzik.
“Jangan biarkan teknologi mengambil alih kreativiti anda. Gunakan inovasi yang ada, tetapi pastikan sentuhan peribadi masih kekal dalam karya,” tegasnya.

Beliau berkata, persembahan secara langsung dan permainan alat muzik sebenar masih mempunyai nilai tersendiri yang tidak boleh digantikan oleh teknologi semata-mata.
McClary turut berkongsi bahawa lagu-lagu The Commodores seperti Easy masih kekal relevan sehingga hari ini kerana kekuatan melodi serta penceritaan yang dekat dengan jiwa pendengar pelbagai generasi.
Dalam perkembangan lain, beliau turut melahirkan rasa kagum terhadap keunikan muzik dan warisan budaya Sarawak yang disifatkan mempunyai identiti tersendiri menerusi gabungan pelbagai alat muzik dan irama tradisional.
Katanya, pengalaman menyaksikan pemuzik tempatan di RWMF turut memberi inspirasi kepada mereka untuk meneroka elemen bunyi tempatan dalam persembahan mereka.
“Kami sangat teruja dengan cara pemuzik di sini menggabungkan bunyi dan irama tradisional. Malam ini kami akan mempersembahkan sebuah lagu yang mempunyai sentuhan tempatan,” katanya.
RWMF 2026 terus menjadi platform pertemuan pemuzik antarabangsa dan tempatan dalam meraikan kepelbagaian budaya muzik dunia di Sarawak.
Oleh Adele Rissa