KUCHING: Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) ke-26 tahun akan diadakan dari 23 hingga 25 Jun di Kampung Budaya Sarawak dengan bertemakan ‘Reflections’/Refleksi.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mensasarkan lebih 20,000 pengunjung untuk RWMF 2023 kali ini.
Katanya, sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk meletakkan negeri ini sebagai pemain terkemuka dalam Pelancongan Bertanggungjawab dan destinasi utama untuk eko-pelancongan di Asia Tenggara.
“Saya berbangga untuk berkongsi bahawa RWMF boleh dianggap sebagai penanda aras bagi inisiatif Pelancongan Bertanggungjawab Sarawak yang mencerminkan komitmen kami terhadap lima matlamat UN SDG – SDG 4 (pendidikan dan peluang pembelajaran sepanjang hayat); SDG 12 (penggunaan dan pengeluaran mampan); dan SDG 17 (perkongsian global).
“…dan melalui festival seperti RWMF, Borneo Jazz Festival, Siniawan Country Music Festival dan Borneo Cultural Festival, kumpulan pemuzik berbakat – Sarawak pastinya mempunyai potensi yang kuat untuk menjadi hab serantau bagi Pelancongan Muzik dan seni persembahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) ke-26 tahun di sini, hari ini.
Seramai 96 pemuzik dari 12 negara dan lebih 3 benua, untuk mempersembahkan pelbagai genre muzik, iaitu dari Tanzania, Maldives, Iran, Jamaica, United Kingdom (UK), India, Indonesia, Thailand, Perancis, Jepun, Hong Kong dan Singapura.
Manakala antara artis Malaysia yang akan membuat persembahan adalah seperti Zee Avi, Suk Binie, APU, Nadir, Steve Thornton Band, Sadal Borneo, Tuku Kame, Nading. Rhapsody , Geng Wak Long , Buloh Berkocak , At Adau , Meruked dan Orang Orang Drum.
Tambah Karim, beliau berbangga dengan pencapaian penganjuran RWMF yang kini mendapat lebih ramai sambutan berbanding pertama kali penganjurannya iaitu pada 1998 dengan penonton seramai 300 sahaja.
“RWMF telah menjadi ‘Star Festival’ bagi Sarawak dan diiktiraf sebagai satu daripada 25 festival antarabangsa terbaik.”
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Sharzede Datu Salleh Askor berkata tahun ini RWMF memberi jaminan bahawa pengunjung akan mengalami persembahan yang menakjubkan seperti yang lain.
“Tiket akan mula dijual pada 15 April ini pada harga bermula RM190 hingga RM650 untuk dewasa bagi pas sehari, dua hari dan tiga hari dan RM80 bagi kanak-kanak untuk pas sehari,” jelasnya.
Oleh Azreen Keria