Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • RUU warga emas penting untuk lindung hak, kebajikan – Lee Lam Thye
  • TEMPATAN

RUU warga emas penting untuk lindung hak, kebajikan – Lee Lam Thye

Utusan Sarawak 4 hours ago
TAN Sri Lee Lam Thye.

KUALA LUMPUR: Cadangan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas disifatkan penting untuk menyediakan rangka kerja perundangan dan dasar yang menyeluruh bagi melindungi hak serta kebajikan golongan itu, kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye. 

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat menyifatkan langkah itu sebagai tepat pada masanya dan penting memandangkan Malaysia kini sedang menuju ke arah negara menua. 

Beliau berkata mereka menyokong penuh langkah kerajaan membentangkan RUU itu pada sesi Parlimen akan datang selepas rundingan menyeluruh dengan pihak berkepentingan termasuk kumpulan warga emas, profesional dalam penjagaan kesihatan, pakar kebajikan sosial, penjaga dan pemimpin komuniti.

“Ramai warga emas hari ini menghadapi pelbagai cabaran termasuk pengabaian, dibuang, tiada jaminan kewangan, kesunyian, akses penjagaan kesihatan yang lemah, penderaan dan pengasingan sosial.

“Sesetengah warga emas dibiarkan tanpa sokongan keluarga yang sewajarnya manakala yang lain bergelut untuk memenuhi keperluan harian disebabkan peningkatan kos sara hidup dan sistem perlindungan yang tidak mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee yang juga bekas ahli Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara berkata undang-undang yang dicadangkan itu harus menangani bidang utama seperti akses penjagaan kesihatan, perlindungan sosial, pencegahan penderaan warga emas, sokongan kesihatan mental dan perumahan mampu milik.

RUU itu, menurut beliau juga perlu memberi tumpuan kepada akses kemudahan awam, peluang pekerjaan untuk warga emas yang aktif dan perkhidmatan penjagaan jangka panjang selain mengukuhkan mekanisme untuk melindungi mereka daripada penderaan fizikal, emosi serta kewangan.

“Penting juga untuk mengiktiraf warga emas sebagai bukan beban kepada masyarakat tetapi sebagai ahli negara yang berharga yang telah menyumbang kepada pembangunan negara. Kebijaksanaan, pengalaman, dan pengorbanan mereka layak mendapat penghargaan, perlindungan dan penghormatan,” katanya.

Lee menekankan RUU itu harus menggalakkan tanggungjawab keluarga dan komuniti yang lebih kukuh ke arah menjaga warga emas sambil mempromosikan penuaan aktif dan penyertaan lebih ramai golongan itu  dalam masyarakat.

Beliau berkata, Malaysia mesti membuat persediaan menyeluruh untuk perubahan demografi bagi mengelakkan krisis sosial dan penjagaan kesihatan yang besar pada masa hadapan.

“Pada masa sama, rundingan dengan semua pihak berkepentingan amat penting untuk memastikan undang-undang yang dicadangkan adalah praktikal, inklusif, penuh belas kasihan serta mampu menangani keperluan sebenar warga emas merentasi pelbagai latar belakang dan komuniti.

“Kami berharap kerajaan akan memastikan bahawa perundangan akhir bukan sahaja bersifat simbolik tetapi benar-benar berkesan dalam meningkatkan kualiti hidup, maruah, kebebasan, dan kesejahteraan warga emas di seluruh negara,” katanya. – Bernama 

Continue Reading

Previous: Kerajaan perketat perlindungan dalam talian untuk kanak-kanak susulan peningkatan jenayah seksual digital – Nancy
Next: Jangan leka musim cuti sekolah, awasi anak-anak di sungai

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.