
KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025 dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif di negara ini.
Senator Dato’ Ahmad Ibrahim menyatakan sokongan terhadap RUU tersebut ketika sesi perbahasan di Dewan Negara hari ini.
Menurut beliau, dalam landskap perdagangan global yang semakin kompleks dan saling berkait, mekanisme penyelesaian pertikaian yang pantas, kos efektif dan fleksibel bukan lagi sekadar pilihan, sebaliknya menjadi satu keperluan.
Katanya, RUU berkenaan akan memperkukuh ekosistem Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) di Malaysia.
Beliau menjelaskan, RUU itu juga bertujuan melaksanakan obligasi negara di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025, atau dikenali di peringkat antarabangsa sebagai Konvensyen Singapura mengenai Mediasi.
Konvensyen tersebut menyediakan kerangka perundangan yang membolehkan pengiktirafan perjanjian penyelesaian antarabangsa yang dicapai melalui pengantaraan, selain membolehkan penguatkuasaan terus perjanjian tersebut di mahkamah negara pihak serta mengurangkan keperluan memulakan prosiding litigasi baharu.
Menurut beliau, sebelum ini komuniti perniagaan antarabangsa lebih cenderung menggunakan timbang tara kerana adanya Konvensyen New York yang membolehkan keputusan timbang tara dikuatkuasakan merentas sempadan.
Namun, kewujudan Konvensyen Singapura menjadikan pengantaraan kini mempunyai kedudukan hampir setara dari segi kebolehkuatkuasaan.
Dalam pada itu, beliau berkata RUU tersebut turut memberi manfaat besar kepada ekonomi negara, khususnya dalam meningkatkan keyakinan pelabur asing kerana kepastian undang-undang dalam penyelesaian pertikaian merupakan faktor penting dalam keputusan pelaburan.
Selain itu, katanya, ia juga mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penyelesaian pertikaian serantau memandangkan negara ini memiliki sistem undang-undang ‘common law’ (undang-undang am) yang diiktiraf serta kos operasi yang lebih kompetitif.
Pada masa sama, pelaksanaannya juga berpotensi mengurangkan beban mahkamah dengan menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih pantas dan efisien.
Mengulas kepentingannya kepada Sabah dan Sarawak, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan RUU itu perlu mengambil kira struktur pentadbiran dan autonomi kedua-dua negeri tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa di Sarawak, badan eksekutif negeri dikenali sebagai Kabinet Sarawak yang diketuai oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, manakala di Sabah pula dikenali sebagai Kabinet Negeri yang diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Menurutnya, perkara itu penting bagi memastikan kejelasan mengenai pihak yang mempunyai kuasa menandatangani perjanjian pengantaraan antarabangsa yang melibatkan kerajaan negeri, badan berkanun negeri atau syarikat berkaitan kerajaan negeri.
Tambah beliau, sebarang perjanjian yang melibatkan isu sensitif seperti tanah, sumber asli serta hak masyarakat adat perlu diteliti dengan rapi supaya tidak bercanggah dengan undang-undang negeri atau kepentingan awam.
Dalam perbahasan sama, beliau turut menyentuh potensi rang undang-undang itu dalam menyokong kerjasama ekonomi serantau melalui Kawasan Pertumbuhan Asia Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) yang ditubuhkan pada 1994.
Menurutnya, kerjasama tersebut kini melibatkan ekonomi bernilai kira-kira AS$1.34 trilion berdasarkan pariti kuasa beli semasa dan merangkumi pelbagai projek infrastruktur strategik di rantau ini.
Antara projek yang memerlukan kepastian undang-undang dalam penyelesaian pertikaian rentas sempadan termasuk projek interkoneksi tenaga antara Sarawak dan Kalimantan Barat serta rangkaian grid tenaga BIMP-EAGA.
Beliau turut menggesa agar inisiatif Pusat Timbang Tara dan Pengantaraan Antarabangsa Borneo (BI-CAM) diperkukuh bagi membangunkan rangka kerja pengantaraan serantau yang lebih mantap.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa langkah pelaksanaan termasuk latihan kepada hakim dan pegawai kehakiman berkaitan Konvensyen Singapura, pengukuhan pusat pengantaraan tempatan seperti BI-CAM serta Pusat Mediasi Malaysia .
Selain itu, beliau turut mencadangkan penubuhan hab pengantaraan serantau BIMP-EAGA di Sarawak atau Sabah, pembangunan platform pengantaraan digital termasuk kemudahan tandatangan elektronik, serta penubuhan jawatankuasa teknikal bersama Sabah dan Sarawak bagi membincangkan implikasi kepada entiti negeri.
Beliau menegaskan bahawa daya saing negara dalam ekonomi global banyak bergantung kepada kepastian undang-undang dan kecekapan sistem penyelesaian pertikaian.
Katanya, RUU tersebut merupakan langkah progresif dalam memodenkan kerangka penyelesaian pertikaian Malaysia serta memperkukuh reputasi negara dalam perdagangan dan pelaburan antarabangsa.
“Namun dalam melaksanakan undang-undang ini, kita perlu memastikan kedaulatan undang-undang terpelihara, kepentingan awam dilindungi dan autonomi negeri dihormati,” katanya.