
KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (Pindaan) 2025 yang bertujuan mengadakan peruntukan berhubung dengan tanggungan untuk membayar caruman dan kadar caruman yang perlu dibayar ke atas pekerja bukan warganegara.
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas oleh 13 Ahli Dewan Negara.
Ia melibatkan pindaan kepada 11 Fasal antaranya Fasal 2 yang bertujuan meminda dan menggantikan perkataan ahli kumpulan wang dengan perkataan pekerja supaya selaras dengan pindaan yang dibuat di bawah Fasal 3 RUU berkenaan.
Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika membentangkan perbahasan RUU berkenaan berkata pindaan itu juga antara lain bertujuan meminda Fasal 6 subseksyen 70E Akta 452 antaranya Subfasal 6(a) bagi mengecualikan seseorang pekerja yang bukan warganegara Malaysia daripada membuat caruman sukarela.
Selain itu, ia juga bertujuan meminda subfasal 6(b) untuk membolehkan pekerja bukan warganegara Malaysia mengeluarkan semua atau sebahagian daripada amaun yang ada pada kreditnya apabila pekerja itu mencapai umur 55 tahun di bawah seksyen 55A Akta 452.
Cadangan kerajaan untuk mewajibkan semua pekerja bukan warganegara Malaysia untuk mencarum kepada Skim KWSP selari dengan komitmen kerajaan memberi layanan yang adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan.
“Bagi melaksanakan cadangan itu, terdapat keperluan untuk meminda Akta KWSP 1991 (Akta 452) melalui Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Pindaan 2025,” katanya.
Ia juga selaras dengan inisiatif Belanjawan 2025 yang bertujuan meningkatkan perlindungan sosial yang setara antara pekerja warganegara Malaysia dan pekerja bukan warganegara dalam pasaran buruh.
Ketika menggulung perbahasan, Amir Hamzah berkata, pelaksanaan caruman mandatori KWSP kepada pekerja bukan warganegara dijangka dapat menggalakkan pihak majikan untuk mengambil lebih ramai pekerja tempatan dan memperkukuh struktur gaji pekerja tempatan ke arah aspirasi negara bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.
Hal itu dapat membantu kerajaan mengurangkan pekerja bukan warganegara tanpa dokumen kerana hanya pekerja yang sah berdaftar dengan majikan layak mencarum dalam KWSP.
“Kepada pekerja bukan warganegara pula, caruman wajib KWSP adalah insentif yang boleh dikeluarkan apabila mereka kembali ke negara asal setelah tamat tempoh permit kerja dengan bukti penamatan kerja,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 perlu mengambil langkah proaktif dalam memberi perlindungan sosial kepada pekerja bukan warganegara.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Kewangan dan KWSP akan menjalankan kajian bagi membolehkan portability of social security benefits dalam usaha berpanjangan untuk membolehkan simpanan KWSP pekerja bukan warganegara dipindahkan ke tabung persaraan di negara asal mereka.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok.
– BERNAMA