Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • RUU Imigresen 2025 dilaksana berhati-hati, hak imigresen Sarawak terus dilindungi — Dato’ Ahmad Ibrahim
  • SEMASA

RUU Imigresen 2025 dilaksana berhati-hati, hak imigresen Sarawak terus dilindungi — Dato’ Ahmad Ibrahim

Utusan Sarawak 10 hours ago
SENATOR Dato’ Ahmad Ibrahim.

KUCHING: Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) Imigresen (Pindaan) 2025 dilaksanakan dengan penuh berhati-hati agar tidak menjejaskan hak imigresen Sarawak yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Berucap dalam perbahasan RUU berkenaan di Dewan Negara, semalam, beliau mengingatkan bahawa tafsiran frasa “masuk ke Malaysia” tidak boleh disamaratakan sehingga merangkumi pergerakan domestik antara Semenanjung dengan Sarawak dan Sabah.

Menurut beliau, bagi Sarawak, pergerakan dari Johor atau Kelantan ke Kuching bukanlah dianggap sebagai “masuk ke Malaysia”, sebaliknya hanya memasuki wilayah Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Dato’ Ahmad berkata, pengalaman lampau sekitar 2008 hingga 2014 membuktikan bahawa pelaksanaan sistem imbas pasport dan pintu automatik di lapangan terbang serta pelabuhan Sarawak telah menimbulkan kekeliruan dan bantahan kerana mengaburkan kuasa imigresen negeri.

“Ketika itu, pegawai imigresen negeri mendapati sistem berkenaan menjejaskan keupayaan Sarawak menentukan siapa yang boleh masuk ke negeri ini, sehingga akhirnya ia dihentikan selepas rundingan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kuasa imigresen Sarawak bukan bersifat simbolik, sebaliknya kuasa sebenar yang hidup dan telah dipertahankan secara konsisten oleh kerajaan negeri.

Mengulas keperluan penyerahan data biometrik bagi semua individu termasuk warganegara, Dato’ Ahmad berkata aspek keselamatan negara tidak harus menafikan persoalan pemilikan, kawalan dan keselamatan data rakyat Sarawak.

Beliau mempersoalkan sama ada data biometrik tersebut akan disimpan sepenuhnya di pangkalan data pusat tanpa penglibatan atau kawalan negeri, selain jaminan bahawa maklumat sensitif itu tidak disalah guna.

“Ini bukan isu politik, tetapi soal kedaulatan digital dan keselamatan maklumat. Jika Sarawak mempunyai kuasa imigresen, kawalan terhadap data pelawat ke Sarawak juga wajar berada di bawah bidang kuasa negeri,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan cabaran pelaksanaan RUU itu di Sarawak yang mempunyai sempadan darat luas serta melibatkan komuniti sempadan yang kerap berulang-alik atas urusan keluarga, pertanian dan perdagangan kecil.

Menurutnya, pelaksanaan sistem biometrik tanpa mengambil kira realiti tempatan hanya akan membebankan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya pelaksanaan RUU Imigresen (Pindaan) 2025 dibuat melalui perundingan bersama kerajaan Sarawak dan Sabah berlandaskan prinsip Segulai Sejalai.

Antara cadangan dikemukakan termasuk perjanjian pelaksanaan bersama antara Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan negeri, penubuhan pusat data negeri bagi penyimpanan biometrik, pelaksanaan berperingkat bermula di pintu masuk antarabangsa serta klausa perlindungan yang menegaskan RUU tersebut tidak menjejaskan hak Sarawak dan Sabah di bawah MA63.

Beliau menegaskan sokongan terhadap matlamat keselamatan negara, namun menekankan bahawa sebarang perubahan sistem mesti menghormati autonomi negeri, keselamatan data rakyat serta realiti sempadan Borneo, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Imigresen 1959/63.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Sarawak bukan meminta-minta, cuma mahu hak ikut MA63
Next: CMS lancar Projek Barisan 2 Klinker RM673 juta, perkukuh bekalan simen Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.