
KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025 yang dibentangkan di Dewan Negara diyakini mampu memperkukuh kerangka undang-undang perdagangan negara.
Senator Dato’ Ahmad Ibrahim, yang mengambil bahagian dalam perbahasan RUU 22/2025 itu berkata, pindaan berkenaan penting untuk memastikan Malaysia dapat menangani isu lambakan barangan import serta amalan pintasan duti dengan lebih berkesan.
Antara pindaan utama termasuk pengenalan definisi baharu circumvention (pemintasan duti), pelaksanaan sunset clause lima tahun bagi memberi kepastian pasaran, ujian kepentingan awam (public interest test), mekanisme undertakings oleh pengeksport atau kerajaan pengeksport, serta peluasan kuasa penyiasatan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Turut diperkenalkan ialah Seksyen 37A dan 37B yang menyasarkan isu transshipment serta manipulasi kecil produk.
“Semua pindaan ini adalah selaras dengan piawaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
“Perlindungan perdagangan yang dilaksanakan mesti dirasai oleh seluruh Malaysia termasuk Sarawak dan Sabah,” tegasnya.
Dari sudut Sarawak, beliau menekankan bahawa industri hiliran seperti aluminium, keluli, kaca, baja dan elektronik memerlukan perlindungan lebih kukuh daripada risiko lambakan barangan import.
“Pelabuhan utama di Sarawak seperti Bintulu, Kuching dan Miri kerap dijadikan transit untuk mengelak duti, justeru aspek penguatkuasaan perlu diperkukuh dengan pemantauan digital.
“Keperluan menyediakan sokongan teknikal kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak agar mereka dapat memanfaatkan undang-undang ini dengan lebih efektif,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan analisis kepentingan awam perlu mengambil kira faktor kos logistik yang lebih tinggi di Sarawak dan Sabah.
“Wajar diwujudkan mekanisme libat urus rasmi bersama kerajaan Sarawak dan Sabah supaya suara wilayah juga diambil kira.
“Hanya dengan penguatkuasaan tegas tetapi telus, konsultasi adil serta sokongan kepada PKS, barulah pindaan ini benar-benar membawa manfaat menyeluruh,” ujarnya.
RUU tersebut dilihat sebagai langkah penting dalam melindungi industri tempatan, mengekalkan daya saing ekonomi negara serta memastikan pertumbuhan perdagangan yang lebih mapan dan lestari.