Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • RUU Antibuli dibentang di Dewan Rakyat 1 Disember ini – Azalina
  • NASIONAL

RUU Antibuli dibentang di Dewan Rakyat 1 Disember ini – Azalina

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATUK Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli akan dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 1 Disember ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata Kabinet pada 21 November lepas telah meluluskan RUU berkenaan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat selepas inti pati undang-undang baharu itu selesai dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat pada 19 November.

“Bacaan pertama dijadualkan pada 1 Disember 2025 dan suatu taklimat terperinci akan diberikan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat pada hari yang sama untuk menerangkan struktur jawatankuasa, bidang kuasa tribunal serta mekanisme pelaksanaan,” kataya menerusi jawapan bertulis yang dikongsikan kepada media di Dewan Rakyat hari ini.

Jawapan bertulis itu bagi menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) berhubung pelan kerajaan untuk merangka undang-undang baharu bagi menangani kejadian buli.

Azalina berkata proses penggubalan RUU itu dilaksanakan menerusi sesi libat urus yang komprehensif termasuk 12 sesi dialog awam (town hall) pada September dan Oktober 2025, melibatkan 300 hingga 400 peserta termasuk pengetua, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, agensi berkaitan serta murid dan pelajar institusi pendidikan tinggi.

Beliau berkata RUU itu buat kali pertama memberikan takrifan undang-undang yang jelas dan komprehensif terhadap perbuatan buli merangkumi elemen fizikal, lisan dan juga dalam talian.

Menerusi takrifan yang seragam itu, katanya semua pihak, sama ada institusi pendidikan atau institusi, penguat kuasa, ibu bapa atau masyarakat mempunyai rujukan yang konsisten dalam aspek pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan.

Selain itu, Azalina berkata RUU itu akan memperuntukkan autonomi yang jelas kepada setiap institusi pendidikan atau institusi untuk menggunakan Jawatankuasa Institusi Pendidikan sebagai mekanisme pencegahan utama (first layer) bagi mencegah, mengesan, mengurus dan melaporkan kes buli di peringkat institusi masing-masing secara berstruktur dan bersepadu.

“Jika sesuatu kes tidak dapat diselesaikan oleh jawatankuasa itu, RUU ini menubuhkan Tribunal Antibuli yang diberi mandat menyediakan remedi seperti perlindungan, kaunseling dan pemulihan melalui proses yang tidak adversarial serta direka khusus mesra kanak-kanak.

“Pendekatan ini memastikan tiada mangsa tercicir daripada perlindungan yang sewajarnya dan keseluruhan kerangka undang-undang ini bersifat sivil yang menekankan keperluan untuk memperkukuh mekanisme pencegahan, perlindungan mangsa serta pemulihan pelaku,” katanya.

Beliau berkata RUU tersebut membentuk platform undang-undang yang menekankan unsur restoratif atau pemulihan dan inklusif dengan tujuan membimbing, memulihkan dan membangunkan kesejahteraan emosi serta akhlak kanak-kanak bagi membentuk generasi yang menjunjung nilai hormat (respect), kesantunan (courtesy) dan bermaruah (dignity).

Menurutnya, RUU berkenaan juga mengukuhkan pendekatan penyelesaian pertikaian secara alternatif (ADR), termasuk mediasi berasaskan prinsip keadilan restoratif yang memastikan ibu bapa turut memainkan peranan penting dan mangsa serta pelaku menerima sokongan jangka panjang.- Bernama

Continue Reading

Previous: PRN Sabah: Lebih 12,000 polis dikerah bertugas sabtu ini
Next: Banjir di Hatyai: 310 warga Malaysia dibawa keluar pasukan sukarelawan Malaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.