Ruslan dilantik CEO Sarawak Energy, ambil alih tugas Sharbini November ini

Facebook
WhatsApp
DATO Ruslan Abdul Ghani dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad berkuat kuasa 1 September 2026 dan akan memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pada 1 November 2026.

KUCHING: Sarawak Energy Berhad melantik Dato Ruslan Abdul Ghani sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (KPEK) yang baharu, berkuat kuasa pada 1 November 2026 selepas tamat tempoh perkhidmatan Datuk Sharbini Suhaili pada akhir Oktober ini.

Pelantikan itu diumumkan oleh Lembaga Pengarah Sarawak Energy Berhad, dengan Ruslan akan terlebih dahulu memegang jawatan sebagai KPEK berkuat kuasa 1 September 2026 bagi memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan lancar.

Ruslan menyertai Sarawak Energy daripada Bintulu Port Holdings Berhad, tempat beliau kini berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan. 

Beliau yang mempunyai latar belakang kejuruteraan memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan dari University of Warwick, United Kingdom, selain mempunyai lebih 30 tahun pengalaman kepimpinan dalam sektor tenaga dan infrastruktur.

Sebelum menyertai Bintulu Port Holdings, Ruslan menghabiskan tempoh 32 tahun bersama Petronas dengan memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan di Malaysia serta peringkat antarabangsa termasuk di Sudan, Iraq, Emiriah Arab Bersatu dan Turkmenistan.

Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Ibrahim Baki berkata, pelantikan Ruslan mencerminkan keyakinan Lembaga Pengarah terhadap keupayaannya menerajui Sarawak Energy ke fasa pertumbuhan seterusnya.

Menurut beliau, pengalaman luas Ruslan dalam sektor tenaga dan infrastruktur, selain kepakaran dalam transformasi organisasi, kecemerlangan operasi serta kelestarian akan membantu Sarawak Energy meneruskan strategi jangka panjang syarikat dalam menyokong aspirasi tenaga boleh diperbaharui Sarawak.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Sharbini atas kepimpinan dan khidmat bakti sepanjang menerajui Sarawak Energy.

Di bawah kepimpinan Sharbini, Sarawak Energy berkembang menjadi antara utiliti tenaga boleh diperbaharui terkemuka di Asia Tenggara menerusi pelaksanaan Sarawak Energy Excellence Roadmap, selain memperkukuh daya tahan operasi dan kewangan syarikat serta memperluas hubungan tenaga serantau.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Sharbini turut menerajui pengambilalihan Loji Hidroelektrik Bakun, mengukuhkan kedudukan kewangan Sarawak Energy serta membudayakan aspek kesihatan, keselamatan, sekuriti dan alam sekitar (HSSE) dalam organisasi.

Peralihan kepimpinan itu mencerminkan komitmen Sarawak Energy terhadap tadbir urus korporat yang kukuh dan perancangan penggantian kepimpinan, tanpa menjejaskan operasi, keutamaan strategik serta komitmen syarikat dalam menyediakan tenaga yang boleh dipercayai, mampan dan berpatutan kepada pelanggan serta pihak berkepentingan.

Oleh Adele Rissa