Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Rusia, Malaysia dalam rundingan sambung semula penerbangan terus tahun ini – Duta
  • SEMASA

Rusia, Malaysia dalam rundingan sambung semula penerbangan terus tahun ini – Duta

Utusan Sarawak 5 hours ago
NAIYL Latypov memaklumkan rundingan sedang dijalankan bagi menyambung semula penerbangan terus antara Malaysia dan Rusia tahun ini. Foto agensi

GEORGE TOWN: Rundingan sedang dijalankan bagi menyambung semula penerbangan terus antara Malaysia dan Rusia, dan perjanjian muktamad dijangka dicapai tahun ini, menurut Duta Besar Rusia ke Malaysia Naiyl Latypov.

Beliau berkata, perkara itu dikendalikan oleh kementerian pengangkutan kedua-dua negara. Beberapa pusingan perundingan telah pun selesai.

“Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke dan Menteri Pengangkutan Rusia Andrey Nikitin sentiasa berhubung rapat. Setakat yang saya tahu, sudah ada dua atau tiga pusingan perundingan,” kata Latypov.

Beliau berkata pihak Rusia menjangkakan satu delegasi Malaysia akan berkunjung ke Moscow tahun ini, dan menyatakan harapan agar kedua-dua pihak dapat memuktamadkan penyelesaian.

Latypov berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri majlis memperingati ulang tahun ke-112 insiden tragis tenggelamnya kapal perang Rusia Zhemchug dalam Pertempuran Pulau Pinang semasa Perang Dunia Pertama, yang diadakan di Tanah Perkuburan Western Road di sini, hari ini.

Beliau berkata perbincangan ketika ini tertumpu kepada laluan Moscow-Langkawi, dengan kemungkinan diperluas ke destinasi lain pada masa depan.

Mengulas lanjut, Latypov berkata selain perjanjian antara kerajaan, syarikat penerbangan kedua-dua negara juga perlu mencapai persetujuan komersial sebelum perkhidmatan terus dapat disambung semula.

Beliau menyatakan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi popular dalam kalangan rakyat Rusia, terutama ketika musim sejuk yang panjang dan lazimnya teruk di negara itu.

Pada 17 Januari, Nikitin dalam temu bual dengan Agensi Berita Rusia (TASS) berkata penerbangan terus dari Rusia ke Malaysia dijangka dilancarkan tahun ini.

Sementara itu, Latypov menyifatkan majlis peringatan itu sebagai acara penuh penghormatan bagi mengenang kelasi Rusia yang terkorban pada 1914 di perairan Pulau Pinang.

Sekitar 30 rakyat Rusia, termasuk wakil daripada dua kapal tentera laut Rusia yang kini berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang, menyertai majlis itu, katanya.

Selain memberi penghormatan kepada kelasi yang terkorban, acara itu turut mengiktiraf peranan nelayan dan penduduk tempatan yang membantu menyelamatkan mangsa yang terselamat.

Pertempuran Pulau Pinang tercetus lewat malam pada 28 Oktober 1914 apabila kapal berkelajuan tinggi Jerman SMS Emden yang berada pada jarak sangat dekat dengan Zhemchug melancarkan serangan torpedo berturut-turut. Dalam beberapa minit, Zhemchug hilang di bawah permukaan air.

Sebahagian besar jenazah anak kapal yang terkorban dikebumikan di Tanah Perkuburan Western Road di sini, manakala sebahagiannya disemadikan di Pulau Jerejak.

Semalam, satu detasmen kapal perang Armada Pasifik Tentera Laut Rusia yang terdiri daripada kapal korvet Sovershenniy, Rezkiy serta kapal sokongan Pecheng mengadakan kunjungan muhibah dan berlabuh di Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham (SPCT) di sini. – Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Gerhana bulan penuh 3 Mac ini, Sarawak dan Sabah berpeluang cerap fenomena langka
Next: ADUN Lingga salur RM42,250 sokong dua bazar Ramadan di Bandar Simanggang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.