Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Rundingan Petronas-Petros diteruskan, kerajaan komited perkasa penyertaan syarikat Sabah dan Sarawak
  • SEMASA

Rundingan Petronas-Petros diteruskan, kerajaan komited perkasa penyertaan syarikat Sabah dan Sarawak

Utusan Sarawak 7 hours ago
RUNDINGAN Petronas-Petros diteruskan, kerajaan komited perkasa penyertaan syarikat Sabah dan Sarawak. Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan memaklumkan rundingan antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) berhubung pengurusan industri minyak dan gas akan diteruskan secara konstruktif berdasarkan Deklarasi Bersama yang ditandatangani pada 21 Mei 2025.

Perkara itu dinyatakan dalam jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, terhadap Pertanyaan Bukan Lisan yang dikemukakan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong).

Rodiyah meminta Perdana Menteri menjelaskan perkembangan terkini rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak berkaitan hak pengawalseliaan industri minyak dan gas serta usaha memperkukuh penyertaan syarikat Sabah dan Sarawak dalam rantaian nilai industri itu selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut jawapan itu, Kerajaan Persekutuan menghormati kebebasan serta kedaulatan badan kehakiman dan tidak mengulas lanjut perkara yang masih dalam prosiding mahkamah.

Kerajaan turut menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Petronas kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan kerajaan Sarawak, manakala rundingan antara Petronas dan Petros diteruskan berpandukan prinsip komersial, kepentingan bersama serta kelestarian industri minyak dan gas.

Deklarasi bersama itu turut menetapkan bahawa undang-undang Persekutuan dan Negeri Sarawak berkaitan pengagihan gas dihormati dan dilaksanakan secara bersama, selain Petronas terus menjalankan peranannya di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Akta 144).

Selain itu, Petros diiktiraf sebagai agregator gas bagi pasaran domestik Sarawak yang berkuat kuasa mulai 1 Mac 2025, manakala Petronas kekal bertanggungjawab terhadap keseluruhan rantaian perniagaan gas asli cecair (LNG), termasuk eksport LNG tanpa menjejaskan perjanjian sedia ada.

Kerajaan turut menegaskan komitmen untuk terus menggalakkan penyertaan syarikat dari Sabah dan Sarawak dalam rantaian nilai industri minyak dan gas selaras dengan semangat MA63, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif di kedua-dua wilayah.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Operasi Lapangan Terbang Labuan tergendala susulan penemuan bom lama
Next: Permohonan SKDS bagi jip, pikap persendirian syarikat dibuka mulai hari ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.