SEMATAN: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa rundingan mengenai hak Sarawak yang terhakis di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih diteruskan dengan kerajaan Persekutuan ketika diminta untuk mengulas mengenai perkembangan terkini rundingan tersebut.
“Masih terdapat beberapa perkara tertangguh yang perlu dibincangkan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mengenai usaha Sarawak menuntut kembali hak-hak yang terhakis di bawah MA63.
“Apabila perkara ini dibangkitkan nanti, saya akan berunding dengan Jawatankuasa Perundingan MA63 Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan dan merasmikan Pos Kawalan Sempadan serta Majlis Pecah Tanah Masjid dan Anjung Usahawan Telok Melano di Sematan, semalam.
Jelasnya, jawatankuasa MA63 yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini sudah tidak wujud lagi.
“Sekarang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menubuhkan portfolio baharu, Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Yang mana menterinya Datuk Seri Maximus Ongkili dan timbalannya Datuk Hanifah Hajar Abdul Taib sedang meneliti lain-lain perkara yang belum selesai. Jadi sekarang kita menunggu mesyuarat rasmi MA63,” jelasnya.
Sementara itu, ketika berucap di dalam majlis tersebut, Abang Johari berkata usaha untuk mengembalikan hak-hak negeri yang terhakis di bawah MA63 adalah diteruskan oleh beliau setelah dimulakan oleh mantan Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
“Saya dan rakan-rakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus berusaha untuk mengembalikan hak-hak negeri yang terhakis berlandaskan kepada perlembagaan.
“Apabila berpolitik, kita melihat masa depan anak cucu dan kita akan usahakan sebaik mungkin dan bukan untuk peribadi.
“Saya sudah 40 tahun terlibat dalam politik, dan tiada agenda peribadi. Allah berikan saya kesihatan, dan saya gunakan apa yang ada untuk menjalankan ibadah, ini adalah ibadah saya,” tegasnya.
Oleh Zarina Abdullah