SERIAN: Rundingan bagi mendapatkan kembali hak-hak Sarawak ke atas minyak dan gas serta cukai jualan produk petroleum di Sarawak kini yang menuju ke arah yang betul menunjukkan tidak perlunya lebih banyak jawatankuasa perundingan lagi.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kini rundingan sedang dilaksanakan oleh jawatankuasa yang disertai oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak sendiri.
“Dalam kerajaan, terdapat tiga cabang kuasa iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman. Bukan hanya perundangan boleh menjadi perunding, tetapi yang utama iaitu eksekutif, iaitu yang mentadbir kerajaan, sama ada kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan.
“Eksekutiflah yang memastikan kelancaran dalam urusan kerajaan, namun itu tidak bermakna kita menolak tepi sepenuhnya sistem perundangan,” katanya kepada pemberita, semalam.
Beliau berkata, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Irene Chan dan ADUN Batu Lintang, See Che How mengkritik beliau mengatakan tidak perlu lagi bagi jawatankuasa perunding negeri yang diketuai beliau sendiri untuk bertemu dan membincangkan masalah minyak dan gas adalah seolah-olah hanya perundangan yang boleh mengambil alih tugas perundingan.
“Mereka perlu ingat bahawa perundangan kita mempunyai tempoh iaitu mungkin dalam masa dua tiga bulan lagi ia akan dibubarkan. Dan apa akan terjadi dengan jawatankuasa ini nanti.
“Oleh yang demikian, jika kini adanya perundingan yang sedang dijalankan berada di laluan yang betul oleh eksekutif yang turut disertai pihak yang berada dalam perundingan, kita teruskan. Kenapa tidak?
“Kita mesti teruskan kerana kita semakin hampir mendapatkan hak kita kembali,” ujarnya.
Karim berkata, sudah tentu ada perkara lain yang ingin kita dapatkan kembali namun kini yang utamanya, hak minyak dan gas telah dikembalikan sedikit sebanyak kepada negeri ini.
“Kita harus bersyukur kerana kita tinggal dalam satu negara yang besar dan kita juga tidak boleh katakan kesemua minyak dan gas yang ada di Sarawak adalah milik Sarawak.
“Jika beginilah cara kita melihat berkenaan hak kita, kerajaan persekutuan mungkin tidak teragak-agak untuk menyuruh kita melindungi negeri kita dengan sendirinya tanpa bantuan tentera dan polis lagi kerana mereka adalah di bawah kerajaan persekutuan.
“Oleh itu, kita perku berkongsi dan dalam semangat perkongsian, kita janganlah membuat permintaan yang gila-gila,” kata Karim.
Terdahulu Karim mengatakan jawatankuasa perundingan itu bersetuju ditubuhkan dalam persidangan Dun yang lalu.
“Pada masa itu kerajaan persekutuan, adalah Pakatan Harapan. Dan memang ekoran daripada tuntutan itu, ada dua tiga kali perjumpaan telah dibuat antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat khas untuk tunaikan permintaan tersebut.
“Ekoran permintaan tersebut, antaranya hak minyak dan gas kita dapat dikembalikan sedikit sebanyak, satu permintaan iaitu SST, telah ditunaikan dan apabila perubahan kerjaan pusat berlaku pada Mac 2020, perhubungan antara kerajaan pusat dan negeri makin bertambah akrab dn kerajaan pusat juga tubuhkan jawatankuasa sama,” katanya.
Oleh Alexandra Lorna