

SAR memasuki hari kedua masih gagal menemui Rumai Jantin, 75 tahun, dilaporkan hilang sejak Selasa lalu. Foto: PGO Bomba Sarawak
BETONG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan hutan Nanga Buai, Ulu Padeh sejak semalam, masih diteruskan apabila mangsa masih belum dijumpai sehingga petang tadi.
Mangsa, dikenali sebagai Rumai Jantin, 75 tahun, dilaporkan hilang sejak Selasa lalu sekitar 9.36 pagi. Sehingga kini, usaha pencarian oleh pasukan SAR masih belum menemui sebarang petunjuk.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pencarian hari kedua menumpukan kawasan berhampiran rumah panjang dengan radius 1 hingga 2 kilometer serta menyusuri anak sungai berhampiran.

Operasi yang disertai tiga anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong yang turut dibantu anjing pengesan Daisy bersama pengendali K9, Jackson Ringkai.
Operasi ini turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (empat anggota), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (lima anggota) serta 30 penduduk kampung yang sama-sama membantu dalam pencarian.
Bagaimanapun, operasi SAR ditangguhkan pada 5.30 petang tadi dan akan disambung semula esok pagi.
Turut berada di lokasi pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) iaitu Ketua Zon Tiga JPBM Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan, Pegawai Operasi Zon Tiga, Muhammad Adam Amran serta Ketua Balai Betong, Muhammad Badrulamin Mohamad Fodzi.
Oleh Adi Safarman