
SIBU: Rumah terbuka Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau hari ini menjadi wadah memperkukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama di bandar ini.
Majlis yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 11.00 pagi di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lanang, Jalan Lanang itu telah dihadiri oleh masyarakat pelbagai kaum dan etnik.
Para pengunjung dihidangkan dengan pek makanan, limau mandarin dan angpau serta dimeriahkan dengan persembahan tarian singa oleh Sibu Martial Art (Quan Shu) Association dan persembahan tukar to peng muka Cina (Bian Lian).

Lau ketika ditemui pemberita berkata, walaupun sambutan tersebut berlangsung dalam bulan Ramadan, pihaknya menyediakan pek makanan halal khas untuk pengunjung Muslim supaya mereka boleh membawanya pulang bersama limau mandarin dan minuman.
“Bagi pek makanan bukan halal, kami menyediakan lebih 1,000 pek dan pengunjung boleh mengambilnya sebelum menerima angpau perayaan.
“Saya merasa bersyukur kerana cuaca tahun ini lebih baik berbanding tahun lepas yang hujan,” jelasnya.

Beliau menambah, bermula Chap Goh Mei, pusat khidmatnya akan meneruskan pengagihan pek makanan vegetarian pada setiap hari pertama dan hari ke-15 dalam kalendar lunar di Tokong Tua Pek Kong dan Tempat Transit Gelandangan (TTG) Sibu.
“Ini mungkin bukan sumbangan besar, tetapi ia melambangkan keprihatinan dan semangat kebersamaan.
“Satu usaha kecil untuk memastikan mereka yang memerlukan merasai kasih sayang dalam komuniti kita,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing, Presiden Gabungan Persatuan Cina (UCA) Sibu, Ngieng Hock Teck, serta ketua masyarakat dan ketua kaum.
Oleh Akun Giman