
SARATOK: Tradisi kunjung-mengunjung serta rumah terbuka setiap perayaan termasuk Gawai Dayak merupakan peluang untuk mengeratkan lagi perpaduan antara penduduk berbilang kaum dan agama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menyifatkannya sebagai satu jambatan perpaduan yang harus terus dibina untuk memahami antara satu sama lain.
“Pada Hari Gawai, anda boleh lihat budaya kaum Dayak seperti tarian dan pakaian. Sama juga seperti Aidilfitri yang mana anda boleh melihat orang Islam merayakannya dan mengenali budaya Melayu, juga sama dengan sambutan Tahun Baharu Cina. Sambutan sebegini benar-benar merapatkan lagi hubungan kita semua sebagai orang Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Gapor Ahmad yang mewakili ADUN Kalaka menghadiri majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2025 ADUN Krian, Friday Belik di Rumah Abing Krikap Sebetan, hari ini.
Mohamad Duri berkata rakyat Sarawak harus berbangga dengan keharmonian antara kaum yang diwarisi sejak turun temurun dan ia harus diteruskan malah dieratkan lagi.
“Keharmonian kaum mesti terus dipupuk kerana ia merupakan pemangkin kepada pembangunan. Ia merupakan kekuatan kita. Ia sekali gus membolehkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat melaksanakan segala program yang dirancang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Friday Belik menjelaskan Majlis Rumah Terbuka Gawai bertujuan memberi peluang kepada rakyat di kawasan beliau khasnya di kawasan DUN Krian untuk berjumpa dengan wakil rakyat mereka ketika sambutan Hari Gawai Dayak sambil berjumpa dan bertukar-tukar pendapat dengan rakan yang turut hadir.
Menurutnya, inilah antara landasan terbaik bagi rakyat bertemu dengan pemimpin negeri serta masyarakat selain beramah mesra serta meraikan kepelbagaian perayaan secara bersama-sama.
Oleh Adi Safarman