KUCHING: Acara Rumah Terbuka Gawai Dayak dianjurkan Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) di Rumah Anyie Ak Rajit, Matop Betong pada 9 hingga 11 Jun ini dilihat sebagai platform bagi meningkatkan sosioekonomi penduduk di kawasan tersebut.
Menurut Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu, lokasi berkenaan terpilih bertujuan memberi peluang kepada para pelancong untuk merasai sambutan tradisi Gawai Dayak di negeri ini.
“Dengan penganjuran rumah terbuka Gawai Dayak ini di Betong, ia juga akan memberi ruang kepada pelancong untuk mempelajari tentang tradisi dan adat yang unik di Sarawak terutamanya mengenai perayaan Gawai Dayak.
“Selain itu, para pengunjung yang datang ke Betong untuk menyertai acara ini juga berpeluang untuk menyaksikan perarakan Gawai secara besar-besaran pada 10 Jun selain dapat melawat pameran kraftangan tempatan, makanan dan juadah tempatan di pekan Betong anjuran Pejabat Residen Betong,” katanya.
Beliau berkata demikian pada rumah terbuka dan perarakan Gawai Dayak STF 2023 di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau memberitahu orang ramai yang berminat untuk menyertai acara rumah terbuka dan perarakan Gawai Dayak itu boleh menyertai pakej pelancongan dengan harga RM650 bagi setiap orang yang mana hanya terhad kepada 80 orang sahaja.
”Bagi mereka yang ingin memandu sendiri, pakej boleh didapati dengan harga RM450 untuk setiap pek di mana pakej ini termasuk penginapan, makanan, bersiar-siar, kehadiran di acara Gawai serta pengangkutan pergi dan balik ke acara berkenaan.
”Selain itu, terdapat juga pilihan untuk pengunjung pergi sendiri tanpa pakej manakala maklumat lanjut mengenai rumah terbuka Gawai Dayak STF dan perarakan Gawai Betong, yang juga termasuk jadual acara, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di www.sarawak.travel/openhouse,” tambahnya.
Hadir sama, Presiden STF Audrey Wan Ullok dan Ketua Projek Yvonne Saman.
Oleh RYNNA SHA’ERRA